Thursday 17 August 2017

Dia Jejaka Eksklusif [Hikayat seorang FIN]- Bab 1

15 Tahun kemudian.


“MAK tak kira, Mukriez! Kamu pergi jumpa jugak calon yang ke 51 yang mak aturkan ni.” Kali ini dia perlu bertegas dengan anaknya itu yang sentiasa memberi alasan untuk mengelak daripada berkahwin.
Mark mengeluh panjang. Wajah lembut emaknya direnung redup. Dari calon pertama sehingga calon ke 50, dia ikut saja apa kata emaknya. Emak suruh pergi berjumpa di taman, dia ikut. Emak suruh dia pergi jumpa calon seterusnya di rumah keluarga gadis itu, dia pergi. Tapi cukuplah sampai calon ke 50 saja.
Dia dah tak sanggup menghadap wajah gadis-gadis pilihan si emak. Dah berapa banyak kali dia ditampar, sampai tak terkira! Malah dipukul dengan beg tangan wanita itu lagi. Fuh! Sungguh mencabar.
Calon 1.
“Maaf, aku tak berminat nak berkahwin.” Mark bersuara selamba membuatkan calon 1 si emak hampir terjojol biji mata.
“Apa ni Mukriez? Kenapa tiba-tiba?” Calon 1 tercebik kesedihan. Tercalar hatinya sebagai seorang gadis sedangkan belum apa-apa pun lagi berlaku antara mereka tetapi secara tiba-tiba si lelaki terus menolak dirinya. Apa buruk sangat ke dia?
“Aku gay. Suka lelaki. Tak suka perempuan.” Dingin suara itu memberitahu.
Allah… terkejut calon 1 dibuatnya. Lantas, di saat itu juga si gadis bangun lalu menghempuk muka Mark dengan beg tangannya.
Pergh! Sakit tak payah cerita la. Beg kulit dengan logo diperbuat daripada besi itu melekap kemas di wajah kacak Mark.
Calon 23.
“Bila awak nak masuk meminang saya?” Lembut saja calon 23 itu menyoal si lelaki.
Mark yang sedang menyedut air itu tersedak-sedak. Bila masa dia pernah cakap nak pinang gadis itu? Nama pun dia dah tak ingat! Main selamba je panggil gadis itu dengan nama calon 23.
“Ayah dah tanya dah tentang kita.” Calon 23 menggumam perlahan. Sedikit ketakutan saat mata helang si lelaki merenungnya tajam.
Mark berdecit sebal dalam hati.
“Kau nak tahu satu rahsia tak?”
Si gadis mengangguk laju. Teruja apabila lelaki kacak di hadapannya itu seperti berminat dengannya.
Mark mendorongkan tubuhnya ke hadapan sedikit. Lalu tangan menggamit si gadis agar mendekatkan wajahnya untuk Mark berbisik.
Si gadis akur, kepala ke hadapan.
“Aku pembunuh,” bisik suara itu serius.
Ting! Jatuh sudu di tangan si gadis. Pantas tubuh calon 23 itu kembali duduk menegak dengan wajah ketakutan. Wajah serius lelaki di hadapannya direnung dalam-dalam. Serius! Dia langsung tidak merasakan yang lelaki itu sedang main-main. Dengan mata helangnya, dengan wajah dinginnya… tidak dinafikan wajah itu walaupun kacak, tetap terasa aura misterinya.
Modus operandi Mark berjaya lagi kali ini. Senyuman sinis terukir di bibir saat melihat calon 23 itu bergegas meninggalkan restoran yang menjadi saksi perjumpaan mereka.

BURN merenung redup jejaka-jejaka yang sedang berdiri berdekatannya itu. Saat melihat wajah tanpa riak Mark, dia tersenyum nipis walaupun lemah. Lelaki itu, sejak mereka bertemu dahulu sehingga sekarang, hanya wajah tanpa riak dan dingin saja yang tertayang. Mark sudah dianggap seperti anak sendiri. Apatah lagi, dia tidak punya anak kandung.
Perlahan-lahan Burn tarik alat bantuan pernafasan yang tersangkut pada mukanya itu. Lalu, dengan suara yang lemah dia berkata-kata,
“Mark, aku mintak maaf sebab buat kau terjebak dengan semua ni. Sepatutnya aku jaga kau seperti anak sendiri.”
Mark merenung ketuanya, Burn. Lelaki tua itu kena serangan jantung semalam, sudahnya dia yang perlu mengambil alih tugas lelaki itu.
Jauh di sudut hati, dia sangat risaukan keadaan Burn. Lelaki itu sudah uzur. Dah hampir 70 tahun! Membayangkan nanti dia akan hidup sendiri tanpa Burn, Mark turut terasa sedih. Takut kehilangan lelaki yang sudah dia anggap seperti ayah sendiri.
“Aku dah kata, jaga makan. Kolesterol tu jaga, paras gula tu jaga. Ni tak, semua kau bedal. Sudahnya, gini la jadinya.” Black membebel dengan muka kesian melihat orang paling veteran dalam Batman ini terlantar sebegini di hospital. Dia yang duduk di hujung kaki Burn, mengurut-urut kaki lelaki itu.
Tersungging senyuman Mark bila Black sempat lagi tegur tentang kesihatan lelaki tua itu.
Mereka ini semuanya adalah bekas ahli kumpulan gengster dan kongsi gelap. Nama kumpulan itu adalah Batman, kumpulan paling berpengaruh dan dihormati di pasaran gelap. Namun kini segalanya berubah. Hanya Batman Holding saja yang masih wujud di Malaysia, manakala Batman si kumpulan gengster telah lama terkubur menjadi sejarah.
Segalanya berubah saat kemunculan Nick yang menggantikan tempat ayahnya, King. Nick yang sepatutnya bekerja sebagai seorang doktor haiwan telah dipaksa menjadi ketua Batman. Dan sepanjang empat tahun di bawah pengawasannya, sedikit demi sedikit Batman telah diubah. Kegiatan haram beransur-ansur dimusnahkan dan diganti dengan perniagaan halal.
Kemunculan King yang telah insaf setelah keluar dari permulihan turut mengubah Batman. Kini, Batman Holding diterajui King menjadi satu-satunya syarikat pengedar senjata api yang sah di Malaysia.
Manakala Mark telah dilantik menjadi penasihat undang-undang kepada King di dalam Batman Holding itu. Dalam masa yang sama, Mark, Malik dan Zainal turut membantu polis menyelesaikan kes penyeludupan dadah dan senjata api.
“Woi Black, kesian la Burn. Dia bukan nak jadi gini. Betul tak Burn?” Sampuk Nick.
Burn tayang sengih dengan kepala terangguk perlahan.
“Burn, kau kawan baik aku. Jatuh bangun aku, kau sentiasa ada di belakang. Kau kena banyak rehat. Aku ada banyak benda lagi nak buat dengan kau ni.” King merenung kawannya itu redup.
Mark yang sememangnya dikenali dingin dan tak banyak cakap itu hanya mengangguk setuju.
Itu kisah dua hari lepas ketika di hospital. Burn, lelaki lebih separuh abad itu kini dalam keadaan tenat di hospital.
“Mark, Burn dah mati,” beritahu Malik di hujung talian.
Mark tergamam. Terus dia jatuh terduduk di atas katil. Perlahan-lahan air matanya mengalir mengenangkan lelaki berpangkat ayah itu telah pergi meninggalkan dirinya.
“Okey... nanti aku datang,” jawabnya perlahan dengan suara sedikit sengau menahan sebak.
Elok sahaja talian diputuskan, bergegas Mark sarung baju dan seluar untuk pergi ke rumah Burn. Pasti orang-orang Batman ramai yang sudah gerak menuju ke sana.
“Mukriez! Nak ke mana?”
Langkah Mark terhenti bila disergah si emak entah dari mana. Kepala toleh kiri kanan mencari kelibat si emak.
“Sini,” beritahu si emak bila tengok anak lelaki bujangnya itu mencari-cari kelibat dia.
Mark kalih ke arah dapur.
“Mak! Terkejut Riez...” Mark urut dada bila tengok wajah si emak putih dengan bedak sejuk.
Puan Rahmah tergelak kecil. Lalu si anak didekati.
“Anak mak ni nak pergi mana?” Soalnya pelik bila si anak siap berbaju Melayu dan berseluar jean.
Mark senyum pada emaknya. “Bos Riez meninggal, mak. Riez nak pergi tengok kebumian dia ni.”
“Innalillahhiwainnahilaihirajiun.... yalah kamu pergilah cepat. Hati-hati ya, nak,” pesan Puan Rahmah.
Mark senyum pada emaknya. Tangan tua si emak digapai lalu dikucup lembut.
“Riez pergi dulu ya mak. Jaga diri,” pesannya siap dicium pulak pipi si emak namun cepat-cepat dia jarakkan diri bila bedak sejuk emaknya melekat di bibir.
Puan Rahmah tersenyum geli hati. “Dah, pergi cepat. Tahulah mak jaga diri.”
Cepat-cepat Mark berlalu ke kereta. Namun, baru sahaja dia hidupkan enjin kereta, telefon miliknya kembali berdering.
“Kenapa?” Soalnya sejurus panggilan telefon itu terjawab.
“Kau dekat mana? Dah gerak belum?” Black menyoal di hujung talian.
Mark seperti biasa, muka tanpa perasaan. “On the way,” jawabnya pendek membuatkan Black mendengus sebal. Lelaki dingin!
“INSAFLAH wahai Abu Bakar Bin Siti, bahawasanya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nangkir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar.”
Mark khusyuk mendengar talkin yang dibacakan imam. Meremang bulu romanya saat Imam membaca dengan intonasi yang berubah-ubah.
“Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.”
Allah... Mark meraup wajah kesal. Terampun ke dosa-dosanya? Terlalu banyak seperti butiran pasir. Tak terkira!
“Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepadaMu supaya tidak diseksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami, Muhammad SAW. Setiap yang bernafas, pasti akan mati. Firman Allah, Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.”
Mark merenung tanah kubur yang masih merah itu. Andai aku yang berada di dalam itu? Apakah yang terjadi pada aku? Kesunyian? Ketakutan? Kesakitan?
“Mark!”
“Hah!” Mark tersentak bila bahunya disenggol seseorang. Pantas dia berpaling ke kanan melihat orang yang menegurnya.
Nick.
“Kau kenapa?” Soal bosnya. Muka lelaki yang tidak kalah kacak itu berkerut serius.
Mark diam tidak membalas lalu berpaling melihat kubur Burn.
Satu saat nanti, aku turut berada di dalam itu. Aku datang menghadapMu, ya Allah. Dua tanganku menadah memohon keampunan atas segala dosaku. Ampunkan aku, ya Allah. Aku khilaf. Rintih Mark dalam hati.

0 comments:

 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template