Sunday 20 August 2017

Dia Jejaka Eksklusif [Hikayat Seorang FIN]- Bab 10

MARK rasa lututnya seakan longgar bila dia mengetahui daripada Iris bahawa emaknya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Menggigil kakinya ketika menapak satu-satu untuk ke wad itu.
Terngiang-ngiang kejadian 15 tahun lepas di mana dia meraung saat melihat abah dan adik perempuan disorong keluar dari bilik mayat dengan keadaan menyayat hati. Tinggal dua kujur tubuh kaku sahaja yang dapat dia tatap. Dan kini, dia tak sanggup sekiranya menghadapi benda yang sama lagi.
“Awak!”
Mark menghentikan langkah lalu berpaling.
Iris. Baju gadis itu terpalit darah di sana sini. Darah Mark mula berderau kerisauan.
“Mak aku mana?” Mata helangnya tidak lepas daripada menilik tubuh gadis yang sedang berdiri di hadapannya. Nasib baik gadis itu berkeadaan baik tanpa luka yang boleh dia nampak. Mungkin itu darah emaknya.
Teruk sangat ke kemalangan yang emak hadapi? Sampai banyak macam tu sekali darah pada baju Iris.
“Wad sana.” Jari dihala ke arah satu pintu wad.
Mark mengangguk lalu cepat-cepat ingin melihat Puan Rahmah.
“Saya nak ke kafe kejap. Nak beli air. Awak nak apa-apa?”
Kepala menggeleng dan terus dia menolak pintu wad yang menempatkan emaknya itu setelah mendapat kebenaran jururawat di kaunter.
Tet...tet...tet...
Ya Allah. Berkaca mata Mark bila tengok mak yang sihat-sihat saja dia tinggalkan pagi tadi, tapi kini terbaring pucat. Kepala dan kaki emaknya berbalut, wayar berselirat bersambung dengan mesin.
“Mak...Riez datang,” serunya sebak. Kaki perlahan-lahan menapak mendapatkan emaknya. Tubuh terhempas duduk pada kerusi yang tersedia di sebelah katil hospital itu. Tangan sejuk si emak digapai lalu digenggam dan dicium berkali-kali.
“Maafkan Riez, mak.” Wajah yang lebam dan tergaris luka itu direnung dengan pandangan yang berbalam-balam. Matanya kabur dek genangan air yang mula berkumpul dan akan melimpah tidak lama lagi.
“Mak kena cepat sembuh. Riez hanya ada mak,” rintihnya lagi. Kepala dijatuhkan pada katil. Tangan masih menggenggam erat jemari si emak.
Jangan tinggalkan Riez! Raungnya dalam hati.
Tidak boleh dibayangkan hidupnya nanti sendirian tanpa emaknya. Baru dua hari mak mogok suara dengannya dia sudah serba tak kena. Rasa sunyi bila balik rumah, tapi Puan Rahmah menghindari dirinya.
Dia tak kuat. Mark tak kuat apatah lagi terbayangkan hidup dia tanpa emaknya itu. Bahunya bergegar menahan tangis. Dia pun manusia biasa, takut akan kehilangan membuatnya teresak sendirian.
“Muka kacak, badan sado. Tapi cengeng,” sakat Iris dengan suara bergetar menahan sebak saat melihat superheronya menangis.
Tercengang Mark seketika. Kurang asam punya perempuan! Cepat-cepat dia kesat kasar air mata di pipi. Jelingan tajam diberi pada gadis yang tersenyum sayu padanya dan sedang bersandar pada jenang pintu wad emaknya.
Mata yang turut bergenang, Iris kesat dengan jari. Kaki segera melangkah masuk ke dalam wad itu. Iris merenung Mark yang menunduk melihat tautan jemari lelaki itu dan si emak. Dasar anak mak, getus Iris namun entah kenapa air matanya kembali luruh.
Hish! Kenapa menangis depan lelaki dingin ni pulak! Air mata ni pun.
“Kau bawak mak aku pergi mana?” Soal lelaki itu dingin. Suaranya sedikit parau dek kerana menangis tadi.
Iris yang rasa bersalah mula gigit hujung bibir.
Don’t bite your lips, Girl,” tegur Mark dengan renungan tajamnya membuatkan Iris terus mengemam bibir pulak.
“Kau dengan mak pergi mana?”
“Err... subuh-subuh lagi mak telefon mintak tolong hantarkan dia ke stesen bas. Dia nak ke Tanjung Malim. Kereta dia rosak.”
Mark terkejut. Tanjung Malim? Buat apa pulak mak nak pergi sana ni?
“Saya kesian, saya offer la diri nak hantarkan mak pergi sana. Ya lah bakal mak mentua saya jugak.”
Membulat mata Mark. Pleaselah! Siapa entah nak kahwin dengan dia!
“Kami berhenti sarapan di warung. Waktu mak melintas, entah macam mana ada kereta meluru laju dan terus langgar mak.”
“Dah report polis?”
Kepala diangguk kecil. “Saya panik sangat. Saya mintak tolong along settlekan. Lagipun, orang yang langgar tu tak berhenti. Terus lari.”
“Sial!” Gumam Mark menahan marah. Kurang ajar! Dasar tak bertanggungjawab! Dah langgar terus blah!
“Apa?” Iris terkejut bila dengar Mark macam mencarut.
“Tak ada apa,” balas Mark acuh tak acuh. Dia akan cari orang yang langgar tu sampai lubang cacing! Siap kau!
Iris tak pekak lagi okey! Kepala tergeleng perlahan.
Orang kalau marah, habis semua sumpah seranah keluar.
Tolak 15 peratus. Jadi 85 peratus saja untuk lelaki idaman Iris ini.
“Doktor cakap apa?” Mark menyoal garang.
“Kepala mak terhantuk kuat, jadi kita kena tunggu dia sedar je sekarang.”
Mark usap tangan tua itu. Doanya semoga mak kuat untuk terus sedar. Dia tak nak terjadi apa-apa pada emaknya.
“Janganlah sedih,” pujuk Iris lembut.
Mark jeling Iris. “Jangan nak sibuklah!”
Iris herot mulut. Orang nak bagi semangat dekat dia. Dia marah pulak.
“Saya kena sibuk jugak! Bila tengok superhero saya sedih, rasa kelakar tahu tak?” Provok Iris saja nak Mark marah dia.
Dia tak suka tengok air mata lelaki tu. Bukan sebab tak handsome! Tapi dia takut dia pun turut meraung kalau tengok air mata Mark menitis di pipi.
“Eii.. pergi baliklah! Baju penuh darah. Sibuk je lagi dekat sini.” Halau Mark garang.
Iris senyum mengejek. Hilang sabarlah tu, bisik Iris nakal.
“Mak, tengok Mukriez Akmal ni. Macam pondan menangis,” ejek Iris siap buat gaya mengadu pada Puan Rahmah yang sedang terlantar sakit.
Mark kepal penumbuk, nafas ditarik dalam-dalam dengan mata terpejam menahan sabar.
“Kau ni kan! Tak fikir ke situasi apa sekarang! Suka hati akulah nak menangis ke meraung ke. Ni mak aku!” Jerkah Mark sedikit lantang akibat terlalu marah membuatkan bahu Iris sehingga terenjut terkejut.
“Maaf,” bisik Iris perlahan. Kepala menunduk takut nak tengok mata Mark.
Iris! Iris rasa nak hempuk kepala sendiri. Orang tu tengah sedih, kau ingat lawak ke buat gaya macam tu. Hambar tahu tak! Iris mengutuk diri sendiri.
“Pergi balik!”
“Tapi...”
“Balik, Girl!”
Iris hela nafas panjang. Matanya merenung redup Mark yang berpeluk tubuh berpaling darinya. Lambat-lambat Iris capai beg tangannya yang terletak di atas meja di hujung kaki Puan Rahmah. Lalu dengan langkah penuh berat, dia melangkah keluar dari situ.
“Awak...” Serunya perlahan sebelum menghilang di sebalik daun pintu.
Mark mendengus kasar, mata mengerling pandang Iris.
“Apa?”
“Awak kena senyum. Baru mak rasa aura positif di sekeliling dia. Jaga diri. Bye my superhero.”
Pintu tertutup rapat.
Mark meraup wajahnya. Seketika, raut tenang si emak yang lena itu direnung redup.
“Mak, kalau Iris jadi isteri Riez... Riez tak tahulah berapa tahun lagi Riez hidup. Muda-muda dah kena darah tinggi sebab perangai sengal dia.” Gelak kecil meletus di bibir Mark.
Rasa lawak bila tengok muka takut-takut Iris tadi. Tapi degil! Sakit kepala dia nak melayan.
Tiba-tiba jari telunjuk Puan Rahmah tergerak naik seketika. Senyuman Mark terus menghilang. Terkejut bila emaknya memberi tindak balas.
“Mak?” Jemari si emak digenggam dan digoyang perlahan.
“Mak?” Cepat-cepat dia tekan butang yang terletak di kepala katil untuk memanggil jururawat.
“Mak...ni Riez!”

0 comments:

 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template