Sunday 20 August 2017

Dia Jejaka Eksklusif [Hikayat Seorang FIN]- Bab 4

MARK mendengus kasar bila loceng rumahnya dibunyikan bertalu-talu. Siap diselang selikan dengan laungan salam yang agak nyaring di luar rumah.
Ya Rabbi! Perempuan ke bini tarzan tu? Suara macam pakai mikrofon!
“Assalamualaikum!!!”
Grrr! Mark selak selimut dengan kasar lalu dia menggaru kepala dengan sebal. Dia baru sahaja nak terlelap tadi setelah pulang kerja jam 6.00 pagi! Malam tadi dia, Malik dan Zainal ada kerjasama dengan Inspektor Khalid. Mereka ada operasi tergempak menangkap penyeludupan dadah dari pelabuhan.
Hish!
Dahlah emaknya tak ada di rumah kerana pergi ke pasar lepas sarapan tadi.
Dan sekarang, baru pukul 8.30 pagi, dah ada orang datang ke rumahnya.
“Siapa pulak la ni?” Bisik Mark sambil berjalan mamai keluar dari biliknya.
Ting tong! Ting tong!
“Assalamualaikum!!!”
Segera Mark membuka pintu rumah dek kerana tak sanggup lagi mendengar suara nyaring yang memberi salam itu.
“Waalaikumussalam,” jawabnya saat menyelak daun pintu.
Namun, seketika kemudian dia rasa menyesal yang amat sangat saat pintu dikuak lebar. Aduhai… lebih baik dia pura-pura tidur saja tadi. Lebih rela pekak mendengar suara nyaring perempuan itu daripada terpaksa melayan perempuan itu berceloteh.
“Hai awak!” Tangan dilambai-lambai ceria pada Mark.
Bahu Mark terus longlai melemah. Calon 51! Iris! Dia buat apa dekat sini? Aduhai!
Mark berpaling untuk masuk ke dalam rumah namun, saat pintu hampir tertutup suara jeritan Iris mematikan pergerakannya saat itu.
“Awak! Awak! Jangan tutup pintu!”
Sekali lagi Mark mengeluh dengan wajah masam. Kepala dihantuk-hantuk perlahan pada pintu rumah. Mark rasa selepas dia mengenali Iris, hampir selalu jugaklah dia mendengus, merengus, membebel, dan mengamuk dalam hati. Lama-lama boleh tua 10 tahun tahu tak!
“Awak! Tetamu datang bawak seribu rezeki ni!” Sempat lagi Iris bagi tazkirah pagi dari luar pagar rumah. Dahlah jarak antara pagar dan pintu rumah Mark agak jauh. Jadi sudah tentu suara Iris berfrekuensi tinggi!
Dalam terpaksa Mark membuka semula pintu rumah lebar-lebar. Lambat-lambat dia sarung selipar lalu bergerak mendekati gadis itu. Tak sanggup nak dengar gadis itu menjadi ustazah pilihan pulak di situ.
Iris tersenyum kegembiraan. Tidak sia-sia dia melakukan pengorbanan pagi ini. Orang kata, kalau tidur lepas subuh rezeki susah nak masuk. Iris gelak-gelak dalam hati kerana dia sanggup di hari cuti ini  tidak tidur semula selepas subuh tadi. Mungkin kerana itu, Allah memurahkan rezeki Iris dapat bertentang mata dengan lelaki idamannya hari ini.
Mark tayang muka tak ada perasaan depan Iris.
“Nak apa?” Soalnya dingin.
Iris sengih lagi. Comel betul tengok lelaki depan dia ni. Rambut serabai baru bangun tidur, seluar petak-petak jenis kain kapas, T-shirt nipis berwarna kelabu.
Alahai....
“Tahu tak adab datang rumah orang? Kalau bagi salam sampai tiga kali tapi orang tak menyahut, itu tandanya kau kena balik. Faham?”
Erk! Dari tersengih, terus Iris memuncung. Cis! Dia kena perli!
“Tak tahu!” Bidas Iris. Bukan dia tak tahu adab itu, tapi saja tak nak nampak kalah depan Mark.
“Ni nak tanya, solat subuh tak?”
“Solatlah!” Jawab Mark bengang. Ingat dia jenis tak solat lima waktu ke? Mahu kena parang dengan Puan Rahmah karang.
“Lepas subuh tak baik tidur. Nanti rezeki tak masuk. Faham?” Iris pulang paku buah keras pada Mark.
Mark silang tangan di dada. Muka bosan ditayang pada gadis yang bertudung bawal itu.
“Apa hal datang?”
Hish! Soal macam nak menghalau. Kecik tahu hati Iris!
Girl. Kau apa hal datang?” Soal Mark lagi bila Iris terdiam seketika.
Dengar saja panggilan ‘girl’ meniti di bibir lelaki beku di hadapannya itu, Iris terus tersenyum lebar. Itu baru ‘girl’, dia maksudkan ‘perempuan’ je tu. Masih umum. Tak apa tak apa...belum lagi ‘my girl’ ke, ‘sayang’ ke, atau Girl, nama khas untuknya, mahu Iris macam terbang di awangan!
“Umi saya ada masakkan nasi lemak. Ni untuk awak.” Satu mangkuk tingkat dihulur pada Mark.
Mark berkerut dahi.
“Kau tinggal dekat mana?” Pelik bila pagi-pagi lagi rajin pulak gadis ini siap hantarkan makanan.
Iris menyeringai suka.
“Tu....” Jari ditunjuk pada sebuah rumah yang selang beberapa buah dari rumah Mark.
Mark tepuk dahi. Laaa. Jiran!
“Tu la awak, lain kali selalu la bertegur sapa dengan jiran. Calon isteri sebelah rumah pun tak tahu.”
Dengar saja calon isteri disebut Iris, Mark buat muka menyampah. Lambat-lambat dia menyambut huluran mangkuk tingkat Iris.
Menjengkelkan!
“Mak Cik Rahmah mana?”
“Pergi pasar.”
“Oh! Dia pergi dengan umi saya.”
Hah? Mata Mark membulat sedikit.
“Dah tu, apa jadah kau tanya?”
Iris senyum polos. Bajet muka suci murni. “Saja nak berlama-lama dengan awak.”
Terpejam mata Mark menahan marah. Sebelah tangan naik bercekak pinggang. Aku dahlah mengantuk nak tidur. Perempuan ni sibuk nak berlama pulak!
Girl, pergi balik!” Halau Mark selamba dengan muka sedikit merah menahan geram.
Bye awak! Pergilah sambung tidur. Mimpikan saya tau!” Pesannya siap melambai-lambai.
Mark beri renungan membunuh. Ada jugak ni yang mati di tangan dia karang.
Iris gelak mengekek-ngekek. Lalu dengan langkah kaki penuh bahagia dia berpaling menuju ke rumahnya yang hanya selang dua buah dari situ.

0 comments:

 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template