Sunday 20 August 2017

Dia Jejaka Eksklusif [Hikayat Seorang FIN]- Bab 7

DI SAAT orang lain bangun untuk menunaikan subuh, Mark baru sahaja pulang dari kerja. Pintu rumah dibuka Mark menggunakan kunci pendua miliknya. Baru sahaja kaki melangkah memijak anak tangga, namanya diseru seseorang.
“Baru balik Riez?” Puan Rahmah yang baru selesai solat subuh itu menegur anaknya. Jam di dinding dikerling sekilas, dah pukul 6:00 pagi.
Anak bujangnya itu sering kali juga keluar tengah malam dan balik subuh. Bila ditegur, Mark kata dia kerja. Kena kumpul bahan bukti untuk kes di mahkamah. Dan Puan Rahmah yang sudah tua ini hanya mengeyakan saja apa yang diberitahu anaknya. Percaya dan yakin pada Mark. Mark takkan buat benda bukan-bukan di luar sana.
“Dah solat mak?” Soal Mark saat melihat emaknya masih mengenakan telekung.
Puan Rahmah mengangguk. Mata mengecil saat terlihat ada percikan darah di lengan baju yang dipakai Mark.
“Darah apa ni, Mukriez?” Soalnya kerisauan, pantas dia mendekati si anak namun si anak seperti ingin menyembunyikan sesuatu padanya.
Mark menarik nafas lega bila semua lampu tertutup hanya simbahan dari lampu dapur saja yang membantu memberi cahaya di situ saat itu.
Pasti Puan Rahmah tidak nampak muka Mark yang lebam di hujung bibir.
Malam tadi dia membantu Inspektor Khalid lagi. Kali ini mereka perlu masuk ke dalam hutan di Ulu Yam. Mark diminta untuk menunjukkan jalan tikus ke dalam tempat persembunyian penagih-penagih di situ.
Elok saja mereka sampai di sana, bukan seorang dua saja penagih yang sedang lalok di situ. Ramai! Hampir 10 orang kesemuanya. Dan lima daripada penagih itu adalah budak sekolah. Menariknya, ada seorang pengedar dadah juga di situ.
Mark terluka kerana ditolak penagih yang berlari lintang pukang cuba menyelamatkan diri. Mujur, kesemuanya dapat diberkas dan dibawa ke balai polis berhampiran.
“Tak ada apa, mak. Terlanggar tiang tadi jadi bibir pecah. Riez kesat dengan lengan baju.”
Puan Rahmah urut dada yang berderau tengok darah di bibir Mark. Walaupun cahaya lampu hanya samar-samar, dia masih nampak lagi hujung bibir anaknya yang mula membiru.
“Macam manalah sampai boleh langgar tiang,” bebelnya lalu segera menuju ke dapur mencari kotak first aid.
Mark mengusap tengkuknya perlahan bila tengok si emak sudah mula risau akan dirinya. Lambat-lambat dia mengekori langkah emaknya itu.
“Sini duduk,” arah Puan Rahmah dengan muka bimbang.
“Janganlah risau mak. Tak serius pun.” Mark cuba menenangkan emaknya.
Tergeleng kepala Puan Rahmah saat ubat luka disapu di tepi bibir itu.
“Sakit nanti nak makan.”
“Nak bercakap pun sakit, mak.” Muka Mark menyeringai kesakitan.
“Itulah tidur tak tentu. Otak pun jadi mamai sampai jalan boleh langgar tiang.”
Mark hampir tergelak kecil tapi pantas dia menahan senyum bila kesakitan seperti kena renjatan elektrik.
“Dah subuh belum?”
Kepala digeleng.
“Cepat pergi subuh. Lepas tu tidur kejap. Hari ni mak nak ke rumah kawan mak. Tolong rewang,” pesan Puan Rahmah.
Mark hanya mengangguk saja, tak larat nak bercakap sebab semuanya sakit. Mulut sakit, kepala sakit, badan pun sakit. Dia fikir nak solat subuh lalu terus tidur saja.
Mark bangun dari duduknya, baru nak melangkah saja emaknya bersuara lagi mengingatkan dirinya
“Jangan lupa pukul 10:00 dah janji dengan Iris nak ke KWC.”
Grrr! Bila masa dia janji!
Tapi bila Mark tengok mata bulat emaknya merenung redup dirinya, lambat-lambat Mark menganggukkan kepalanya.
Iris! Hish!

BUNYI deringan telefon bimbit mengejutkan Mark daripada tidur. Kepala yang berdenyut sakit dipicit-picit sambil tangan meraba mencari telefon miliknya yang terletak di atas meja sebelah katil.
“Helo!”
“Seksinya suara.”
Hah? Mark tengok skrin telefon. Nombor yang tak disimpan dalam contact list.
“Siapa?”
“Sayalah! Iris.”
Grrr! Mark meramas rambut sambil berdecit sebal.
“Hurm!” Gumamnya menahan geram.
“Awak mesti tidur balik lepas subuh kan? Saya dah siap ni.”
“Siap?” Kening ternaik sedikit. Siap apalah perempuan ketot ni.
“Hish! Kan kita nak pergi dating. Saya dah tunggu depan rumah awak ni.”
Mark tepuk dahi. Pantas dia pergi tepi tingkap, langsir diselak sedikit mengintai Iris di luar. Hurm! Gadis itu siap melambai Mark dengan penuh ceria!
“Bukan dating, beli tudung mak aku je.” Mark matikan talian dan bergegas menuju ke bilik mandi.
Iris di luar pagar rumah dah tercengang bila Mark matikan talian macam tu saja! Tanpa pesan suruh tunggu kejap ke apa.
“Cis! Mamat ni tidur balik atau pergi bersiap?” Iris dah blur.
Muka Iris merah padam menahan geram. Dah hampir 20 minit dia tunggu Mark! Tapi lelaki itu langsung tak muncul.
Mark saja nak kenakan dia ke?
Siaplah Mark nanti! Gerutu Iris sebal. Muka dia dah memuncung panjang dengan peluh lagi. Aduhai! Habislah krim muka aku ni. Beria aku cantik-cantik untuk dia, alih-alih jadi tugu je.
“Jom!”
Iris mengangkat kepala bila suara Mark kedengaran.
Erk! Terpaku Iris bila tengok Mark yang segak dengan kemeja Polo berwarna putih dan berseluar jean. Siap pakai topi! Omooo... handsome!
Lelaki itu terbongkok sedikit sedang menghidupkan enjin kereta. Tidak lama kemudian, dia datang menghampiri Iris untuk membuka pintu pagar.
“Eh!” Terkejut Iris bila tengok muka Mark ada lebam.
“Jangan banyak cakap. Kalau tak aku tinggal!” Gertak Mark lalu terus meninggalkan Iris untuk masuk ke dalam kereta usai saja membuka pintu pagar.
Iris tak tunggu lama, cepat-cepat dia masuk ke dalam kereta Mark. Uit! Tersengih Iris bila kereta Toyota Vios itu meluncur laju keluar dari garaj rumah.
Tak sabar nak berdating! Apalah yang jadi ya saat berdating nanti. Iris mengedik sorang-sorang. Sedangkan Mark selamba saja memandu macam dia sorang je dalam kereta tu.
Mereka terus saja pergi KWC mencari selendang jenama Keknis yang Puan Rahmah pesan.
Mark sentuh satu-satu kain tudung yang tergantung cantik mengikut rona warna. Nampak menarik kerana disusun dari warna gelap ke warna cerah.
“Riez, cuba awak rasa kain yang ni. Mak mesti nak yang macam ni.”
Mark menghampiri Iris, kain yang dipegang Iris turut dia pegang. Tidak terlampau lembut dan kasar. Sedang elok saja. Kepala Mark terangguk faham.
“Berapa sehelai?” Soalnya pada jurujual yang berdiri berdekatan mereka.
“Sehelai sepuluh ringgit je. Beli borong dapat lagi murah.”
“Borong berapa sehelai?” Mark tengok warna-warna tudung yang tergantung itu. Rasanya ada beberapa helai warna tudung yang mak tak ada lagi.
“Enam ringgit sehelai kalau beli enam helai. Empat ringgit sehelai kalau beli 15 helai.”
Kepala Mark terangguk lagi.
“Okey, saya pilih.”
“Banyaknya!” Tegur Iris terkejut tengok tudung yang dipilih Mark. Ada tu sampai dua helai untuk warna yang sama!
“Ada yang mak aku tak ada lagi. Ada tu yang mak aku suka pakai warna tu, jadi beli la beberapa helai.”
Erk! Ternganga mulut Iris tengok Mark. Prihatin sungguh ni! Benda kecik pun lelaki ni perasan!
Selepas membeli tudung Puan Rahmah, Mark jalan menonong pergi Times Square. Korang tahu tak Mark tak naik kereta! Dia jalan kaki dari KWC ke TS.
Lagi sekali Iris rasa nak sepak je punggung Mark yang berjalan depan dia saat itu. Dia pakai heels kut! Walaupun jarak KWC dan TS itu tak la jauh mana, tapi.... dah alang-alang ada kereta, tak boleh ke naik kereta je? Parking dekat TS dan nanti mereka boleh terus balik. Tak payah nak ke KWC semula untuk ambil kereta.
Urgh! Sebalnya. Ini ke dating? Mark macam nak dera dia je.
Lepas tu, Iris perhati je Mark.
Pertama, Mark pergi kedai Auntie Anne’s. Dia beli pretzel, kemudian lelaki itu menonong makan sambil berjalan.
Ish...ish...ish.. Dah la dia tak tanya pun Iris nak ke tak. Belikan untuk Iris pun tak!
“Nah.” Satu plastik pretzel dihulur pada Iris.
Eh! Iris dongak pandang Mark di sebelah. Muka dia? Tak payah cakaplah! Berseri-seri.
“Tak nak ke?”
“Nak!” Gila tak nak! Mark belikan pretzel untuk dia jugak!
Kemudian, kejadian seterusnya Mark berhenti pulak dekat kios yang jual makanan Jepun macam sushi tu. Seperti biasa Iris tunggu di tepi.
Dan lagi sekali setelah selesai membeli, Mark menonong jalan tinggalkan Iris yang mula sakit kaki sebab berjalan ke hulu ke hilir dengan kasut tumit tinggi. Konon nak nampak cantik, tak pun seksi depan Mark.
Tapi dia yang seksa!
Mark berhenti, duduk dekat kerusi panjang yang memang disediakan untuk berehat. Lalu, tanpa cakap apa-apa pada Iris, Mark makan nasi kepal bentuk macam tiga segi tu.
Iris tengok macam sedap je. Hulur sikit dekat Iris pun tak.
“Nak, cakap. Nah!” Mark letak plastik sushi atas riba Iris. Tahu Iris lapar, tapi saja nak kenakan gadis itu. Mark gelak jahat dalam hati.
Iris kulum senyum. Ceh! Belikan tapi saja tak nak cakap. Dasar lelaki dingin!
“Jom balik.”
Hah! Terlepas octopus sushi dari tangan. Mujur terjatuh dekat dalam bekas plastik.
Iris pandang muka Mark tak percaya.
“Cepat habiskan makan.” Mark buat tak endah pada Iris yang sedang merenung tidak puas hati pada dia. Terus dia bangun dan berjalan perlahan meninggalkan Iris.
Iris yang takut ditinggalkan segera menyuap sushi tadi ke dalam mulut. Dengan mulut yang penuh, dia mengemas bekas makanan lalu bergerak laju mengejar langkah Mark.
“Awak! Tunggu!” Laungnya dengan mulut penuh. Huk! Huk! Dada yang terasa sendat ditepuk-tepuk. Mukriez! Hish! Elok aku seorang yang ayu, terus tak ayu sebab lelaki itu. Nak tercekik rasanya!
Sejurus dia berdiri sebelah Mark, terus dia meluahkan perasaan marah yang dipendam dari tadi.
“Saya tengah marah awak ni! Marah gila! Pertama! Saya beria bangun awal lepas subuh tak tidur sebab excited nak keluar dating dengan awak!”
Walaupun marah, kaki melangkah beriringan dengan Mark. Suara yang kuat, tidak Iris peduli! Yang penting Mark yang batu itu faham perasaannya.
“Lepas tu, saya mekap beria, tapi awak tak puji pun! Malah, awak biarkan saya tunggu awak 20 minit tanpa beri isyarat langsung! Awak tahu tak apa perasaan saya masa tu?” Sebelah kening ternaik tinggi pada Mark.
Mark berhenti melangkah. “Apa dia?” Soalnya selamba.
Iris mendengus sebal. “Rasa macan tugu Liberty New York tu hah!”
Terus meletus gelak di bibir Mark bila tengok muka Iris yang kejap berkerut, mencebik, memuncung.
Iris panar. Mark ketawa? Serius ke ni Mukriez Akmal ketawa?
“Lagi?” Mark menyoal lagi. Nak Iris sambung marah dia. Dia nak tahu apa yang Iris fikir tentangnya.
Iris tersentak. Hah? Lagi apa ni? Blur sungguh dia saat itu. Terpesona sangat gamaknya bila dengar Mark ketawa senang dengannya.
“Er... apa eh?” Iris garu kepala yang dilapisi tudung. Dia pun tak ingat dah dia nak marah apa tadi. Tanpa Iris sedar, kakinya tak bersedia dek kerana mamai ketika menggunakan eskalator.
“Umi!” Jerit Iris bila badannya macam nak jatuh ke hadapan saat kaki berdiri di tangga eskalator.
“Hati-hati!”
Erk!
Berdebar jantung Iris bila hidungnya menangkap bau wangian Mark. Aduhai, wanginya. Bau maskulin sungguh!
“Mata kau letak dekat mana? Lutut!” Nak luruh jantung Mark dibuatnya. Dia tak dapat bayang kalau Iris betul-betul jatuh tergolek-golek di eskalator tu.
Iris mengeram sebal. Ingatkan superhero dia ni romantik! Rupanya nan hado!
Nasib kaulah Iris dapat superhero beku macam ni.
“Suara mana? Dah bisu?”
Eh!
“Mana ada bisu! Saya cuma tengah menghayati perasaan dipeluk superhero The Flash yang dingin je.”
“Hah?”
Mark baru tersedar yang dia masih memeluk erat Iris, atau lebih tepat lagi tangannya merangkul erat pinggang Iris manakala lagi sebelah tangannya memegang bahu gadis itu. Ala-ala orang menari slow dance la pulak!
Cepat-cepat Mark lepaskan rangkulannya. Kepala tertoleh kiri kanan. Ramai yang menjadi penonton aksinya tadi, masing-masing tersengih-sengih pada mereka membuatkan Mark panas muka.
“Cepatlah!” Gesa Mark bengang menahan malu. Terus dia menarik tangan Iris agar melangkah seiring dengannya.
Iris tengok tangan Mark yang memegang pergelangan tangan dia. Bibir terukir senyuman lebar walaupun jantung dup dap dup dap tak menentu.
“Aku pegang supaya kau tak jatuh!” Ujar Mark ketika mengerling Iris sekilas.
Iris cebik bibir. Ya la tu!
“Kau ni aurat tutup segala, tapi siap menghayati pelukan orang pulak.” Bebel Mark lagi menutup perasaan malu yang masih wujud. Terasa panas telinganya ketika itu.
“Dah rezeki, reda je la,” balas Iris lagi gaya pasrah benar. Padahal saja je dia cakap macam tu. Ingat dia tak malu ke? Dia pun malu!
Mark berdecit sebal. Muka Iris dijeling tajam. Mulut minah ni ada je benda nak dibidas.
Shut up, Girl. Mind your steps.
Iris senyum sinis. Malulah tu. Muahaha.

0 comments:

 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template