Sunday 20 August 2017

Dia Jejaka Eksklusif [Hikayat Seorang FIN]- Bab 6

LEPAS saja urusan peribadinya yang menjadi tontonan orang awam, Mark terus bergerak menuju ke Batman Holding. Ada kerja yang perlu dia bereskan sebelum pulang ke rumah bertemu emaknya.
Argh! Pasti emak akan merajuk seperti selalu bila calon terakhir iaitu calon 52 juga turut ditolaknya.
“King,” sapanya pendek.
King yang khusyuk menulis sesuatu itu pantas mendongak saat Mark berjalan masuk ke dalam bilik pejabatnya itu.
“Lain mana?” Soal King bila sedar Mark datang sorang tanpa Malik dan Zainal seperti selalu.
“Bawah.” Mark melabuh duduk di hadapan King, sebuah kontrak perjanjian dengan salah sebuah syarikat dari luar negara diletakkan Mark di atas meja lalu ditolak di hadapan lelaki separuh abad itu.
“Aku dah teliti kontrak ni. Tak ada apa yang curiga. Semua okey.”
Kemudian seperti biasa Mark akan menjelaskan isi kontrak tersebut agar King faham dan hadam sebaiknya.
King mengambil dokumen perjanjian itu lalu dia terus menyelak pada halaman yang perlu dia turunkan tanda tangan. Tanpa sedikit pun perasaan curiga, dia terus menandatangani perjanjian tersebut.
Jam baru menunjukkan pukul 4.30 petang tapi Mark dan King jalan beriringan untuk pulang ke rumah. Ketika mereka lalu di lobi pejabat, Malik, Zainal dan Black sudah pun menunggu mereka untuk melepak dahulu bersama.
King yang kepenatan kerana faktor usia meminta diri untuk terus pulang ke rumah meninggalkan yang lain di lobi itu. Lelaki-lelaki itu sebaya anaknya, Nick yang kini memulakan hidup baru di Kedah.
“Jom lar pekena teh tarik mamak.” Black mengajak. Selamba saja dia meletakkan tangannya pada bahu Mark.
“Aku tak bolehlah.” Mark menolak.
Pantas Malik dan Zainal saling berpandangan dan mata mereka memberi isyarat sesama sendiri.
“Dah kenapa korang ni?” Tegur Black bila tengok kening dua orang itu dah macam buat tarian saja. Kejap naik kejap turun.
“Kenapa Mark? Kau nak pujuk isteri kau yang kau tinggalkan dekat restoran tadi ke?” Malik menyoal takut-takut. Dia dah pecahkan rahsia Mark!
“Hah! Kau dah kahwin, Mark?” Black tak percaya.
Mark pejam mata menarik nafas dalam-dalam. Ini lagi sorang umat yang bebal!
“Betul bos! Perkahwinan rahsia. Isteri Mark sedang mengandung tiga bulan. Kami rasa Mark rahsiakan sebab isteri dia ada macam tak betul sikit.”
“Tak betul macam mana?” Serentak Black dan Mark bersuara namun dengan nada yang berbeza. Black dengan nada ingin tahu. Mark dengan nada macam nak cekik je Malik waktu tu jugak. Geram punya fasal!
“Dia macam...err...” Malik kerling Mark sekilas, tengok Mark menjeling tajam padanya pantas dia menunduk mengalihkan pandangan.
“Macam mana?” Black tidak boleh bersabar.
“Gi..la...” Sebut Zainal satu-satu dengan suara yang rendah.
“Biar betul!” Black terkejut.
Muka Mark direnung Black meminta kepastian.
“Dah habis?” Mark menyoal sinis. Selamba saja mereka bercerita berita palsu tentang Mark.
Inilah orang kata, sebelum viralkan pastikan betul dulu. Masalahnya lagi, si makhluk dua orang ni ada di tempat kejadian pun boleh percaya bulat-bulat!
“Betul ke Mark?”
Mark mendengus geram.
“Kau percayalah cakap dua orang manusia sesat ni,” getus Mark lalu terus meninggalkan mereka yang lain.
“Eh! Betul ke tak ni?” Black masih keliru. Kepala digaru-garu.
Tak lama kemudian baru Black dapat tangkap nada sinis Mark. Cis! Black tercengang. Pantas Zainal dan Malik direnung bengang.
“Kau ni! Memang blur tak agak-agak kan!”
Mark yang mendengar Black memarahi Malik dan Zainal hanya tergelak kecil. Dah banyak kali kena dengan budak dua orang tu, yang Black masih percaya kenapa?

MARK berhentikan keretanya di luar pagar rumah saat tempat parkir keretanya ada kereta lain. Aik, kereta siapa? Getusnya sambil pandang kereta Suzuki Swift berwarna kelabu yang selamba bersadai di sebelah kereta emaknya.
Lambat-lambat Mark bergerak keluar dari kereta lalu melangkah masuk menuju ke pintu rumah. Saat dia sedang membuka kasut, terdengar suara emaknya sedang ketawa. Tanpa sedar senyuman terukir di bibir Mark. Entah kenapa dia akan rasa bahagia setiap kali mendengar emaknya ketawa.
“Assalamualaikum,” ucapnya ketika melangkah masuk ke dalam rumah dengan senyuman lebar mendapatkan emaknya yang berada di ruang makan.
“Waalaikumussalam.”
Langkah kaki Mark terus terhenti bila terlihat satu figura manusia yang sedang tersenyum manis padanya. Mata dia hampir terjojol keluar lalu terus termati senyumannya saat itu.
Ya Allah, kenapa dia sentiasa ada di mana-mana! Belum pun sampai empat jam mereka terpisah, dan sekarang dia jumpa lagi si minah ketot ni. Grrr!
“Riez, awal balik hari ni.” Puan Rahmah menegur mesra anak bujang tunggalnya itu. Muka si anak yang cemberut setelah terlihat Iris turut berada bersamanya itu tidak diendahkan.
“Mari minum petang. Iris ada bawakan cucur udang kegemaran Riez.” Puan Rahmah tersenyum pada Mark dan Iris silih berganti.
Dan-dan Mark rasa dia tiba-tiba tak suka cucur udang!
“Tak asar lagi, Riez naik dulu.” Mark meminta diri menuju ke atas dengan muka toya tak ada perasaan.
Tolonglah ya Allah! Apa yang Kau cuba tunjukkan ni? Dia jodoh aku? Rintih Mark dalam hati ketika menaiki anak tangga menuju ke bilik.
Iris pulak rasa macam ada tarian singa dalam badan dia. Teruja! Gembira! Hyper! Dia nampak senyuman Mark! Senyuman yang bukan sinis, tapi senyuman seorang anak yang bahagia saat mendapatkan emaknya.
Allahu... sekali lagi jantung Iris bergendang hebat. Kaki tarian singa macam tak cukup tanah berjoget-joget dalam diri Iris. Kalau kelmarin dia cakap pada Aisyah yang senyuman sinis Mark umpama pembunuh bersiri. Kini dia nak cakap,
‘Aisyah! Senyuman kegembiraan Mukriez buat aku nak melompat-lompat ke bintang!’ Patutlah Mark kedekut betul tayang senyum normal pada orang, rupanya senyuman itu memang sangat eksklusif!
“Hai senyum je dari tadi.”
Erk... Iris lantas tergelak kecil menutup malu ditegur Puan Rahmah. Ala.. kantoi pulak duk berangan anak teruna orang tu! Depan si emak pulak tu.
Kau ni bikin malu je la Iris!
“Mak bukan nak melobi anak mak. Mak cuma cakap yang benar. Mukriez tu baik sangat orangnya. Dia dulukan mak dalam segala hal. Sejak abah dan adiknya pergi, memang segalanya Mukriez yang tanggung walaupun dia baru 16 tahun masa tu.”
Iris betulkan letak punggung. Uit! Bakal mak mentua nak cerita tentang bakal suami! Dengan bahagianya Iris pasang telinga besar-besar. Muka sehabis khusyuk dia tayang.
“Disebabkan kesusahan yang dia alami sejak remaja, dia jadi dingin. Mungkin sebab dia cepat matang, jadi dia jenis malas nak cakap banyak dan main-main. Kalau dia buat Iris terasa, mak mintak maaf ya.”
Iris pegang kedua belah tangan Puan Rahmah. Muka Iris dah mencebik kesedihan dek kerana terharu sangat. Belum jadi menantu, tapi bakal mak mentua macam dah sayang sangat dekat dia. Uwargh!! Ini lagi buat Iris tak sabar ni.
“Mak janganlah risau. Iris tak ambil hati pun. Faham dia jenis tak suka hal remeh-temeh.” Iris tayang senyum.
Puan Rahmah kelegaan.
“Untung umi kamu ada anak perempuan macam kamu.”
“Mak pun untung ada anak macam Mukriez. Heee... Baik, penyayang...”
My superhero! My iceberg!
Sambung Iris dalam hati.
“Ehem!” Mark berdeham bila tengok dua wanita di hadapannya ini seperti tengah buat drama jejak kasih. Siap berpegang tangan dan saling berbalas senyum. Macam ada sesuatu je. Bukan boleh kira emaknya dan Iris itu, takut nanti Iris merancang entah apa-apa pulak dan ajak mak untuk join sekali rancangannya itu.
“Mari duduk minum.”
Lambat-lambat Mark mengambil tempat di sebelah emaknya. Muka berseri Iris langsung tidak dia pandang, sebaliknya cucur udang yang menggerutu itu pulak dia lebih berminat untuk melihat.
Iris berdecit sebal dalam hati, tapi senyuman lebar tetap terukir.
“Riez, nanti kamu tolong carikan shawl untuk mak ya, cantik sangat tengok kawan mak pakai semalam.”
Mark mendongak membuatkan matanya dan mata Iris bertautan lama. Cepat-cepat dia tersedar dan menoleh pandang emaknya di sebelah.
Iris melopong luas bila dengar Mark yang akan pergi beli tudung mak dia. Erk! Kalau abang Iris lah memang tak la... ada yang dia bawak balik tudung saji karang.
Bagi Mark itu benda biasa. Puan Rahmah memang selalu suruh Mark yang beli hatta barang orang perempuan sekalipun kerana emaknya itu tidak suka bersesak-sesak dengan kesesakan lalu lintas.
“Nak beli dekat mana?” Mark menyuap satu ketul cucur udang ke dalam mulut. Hurmm...sedap!
“Kawan mak kata dia beli borong di KWC. Murah sangat dan kainnya pun jenis berkualiti. Cuma kena pandai pilih kedai.”
Iris yang masih tak percaya dengan apa yang dia dengar hanya mampu terdiam dan pasang telinga saja.
Oh my superheroku.... Superhero yang anak emak dan juga mampu jadi suami yang terbaik!
“Oh...KWC, yang tahun lepas Riez pergi untuk belikan Palazo mak tu kan?” Kening Mark ternaik sedikit. Cuba mengingati Kenanga Wholesale yang terletak berdekatan Times Square dan Low Yat.
“Ya sayang. Terima kasih ya. Nanti Riez rasa-rasa dulu jenis kain tu. Takut ada yang kasar sangat mak tak nak. Yang licin sangat pun mak tak nak, nanti susah nak bentuk tudung mak.”
Mark garu-garu kepala.
“Contoh kain mak tak ada ke? Riez tak pernah rasa lagi yang mana satu mak nak?”
Weiii... perbincangan serius ni? Biar betul Mukriez Akmal yang pergi sorang. Siap rasa-rasa kain bagai. Iris terkebil-kebil pandang Mark yang selamba menyuap cucur udang ke dalam mulut.
“Mak tak ada contoh kain.” Suara Puan Rahmah mendayu perlahan.
“Err... Iris boleh tolong,” sampuk Iris. Matanya terus memandang Puan Rahmah di hadapan, takut nak pandang Mark yang dia tahu dah menjeling tajam padanya.
Puan Rahmah tersenyum lebar manakala Mark herot bibir menyampah.
“Iris ada beli kain shawl tu. Iris tahu yang mana mak nak. Iris boleh temankan Riez.” Iris mula melobi diri sendiri mengambil kesempatan keluar berdua dengan Mark.
Mark rasa nak hempuk pinggan pada kepala gadis ketot depan dia tu. Dahlah panggil mak orang ‘mak’. Entah sejak bila dapat mandat agaknya!
“Betul ke? Alhamdulillah. Bolehlah Riez bawak Iris pergi theme park di TS.”
Hah?
“Memang taklah!” Tempelak Mark tidak senang.
Iris buat muka lalalala... macam nak pergi dating je ni? Yeeha!
“Kau kata kau ada tudung tu, bawak datang sini meh aku rasa kainnya macam mana.”
Iris pantas menggeleng laju. Eh! Orang bodoh je la nak bagi kain tu dekat Mark. Memang tak la Iris nak lepaskan peluang berdating dengan superhero.
“Err.... Shawl tu Iris bagi kawan pinjam! Maaf ya Riez. Jom jelah kita keluar berdua besok.” Selamba Iris menipu.
Mark kecikkan matanya pandang Iris. Mencurigakan!
“Riez, keluar jelah dengan Iris. Iris perempuan lebih tahu. Boleh korang meluangkan masa bersama. Bila lagi kan?” Puan Rahmah memujuk Mark.
“Betul tu mak!” Sampuk Iris jadi batu api.
Bila Mark menjeling tajam, dia tayang senyuman kemenangan. Kena tulis dalam diari ni... besok 22 Mac. Iris berdating dengan superhero a.k.a bakal suami.


0 comments:

 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template