Thursday 17 August 2017

Dia Jejaka Eksklusif [Hikayat seorang FIN]- Prolog II

MUKRIEZ tersenyum saat melihat baki akaun banknya. Ada RM13 ribu!
Alhamdulillah! Dia mengucap syukur dalam hati. Rasa macam nak buat sujud syukur depan mesin ATM sekarang ni! Errr… Tapi ni duit haram. Boleh ke siap nak sujud syukur?
Tapi tak lama kemudian, dia tergelak kecil sambil garu belakang kepala yang tidak gatal. Segan dengan diri sendiri bila mengaku duit yang dia dapat itu adalah duit haram.
“Argh! Lantaklah, halal ke haram. Aku nak bagi along yang makan. Biar dia makan duit haram!” Bisik hati budak lelaki berumur 16 tahun itu.
Saat dia menolak pintu kaca bank itu dan melangkah keluar, Iskandar yang tolong hantar dia tadi segera menghampiri.
“Amacam? Lagi berapa tak cukup?”
Mukriez tayang resit bank yang tertera baki duit akaunnya.
“Fuyooo! Hebat lu! Lagi 2K!” Iskandar terjerit suka membuatkan Mukriez turut tergelak di situ.
“Wei, lagi dua malam la kau kena buat kerja ni. Lepas tu, mesti kau fokus belajar balik kan?”
Mukriez tayang wajah bersahaja bila dengar suara Iskandar yang berubah perlahan.
“Maaflah Kandar. Kau pun tahukan sebab apa aku buat kerja ni. Kalau mak abah aku tahu ni, memang mati aku dikerjakan.”
Iskandar tepuk bahu Mukriez perlahan.
“Aku faham la. Baguslah kalau kau tak ada niat nak teruskan kerja ni. Kau budak pandai, aku budak bodoh. Jadi, kau jangan jadi bodoh macam aku.” Muka Iskandar suram.
Mukriez tergelak kecil. Bahu si kawan disenggol. “Woi! Cilok ayat Zero dalam Maharaja Lawak ke apa ni? Kamu budak pandai, kami budak bodoh.” Mukriez ajuk gaya Atu, salah seorang ahli kumpulan Zero.
Iskandar berdecit. Ala... kantoi pulak. Baru nak syahdu.
“Tapi seriuslah, kau pandai, Riez. Kau boleh berjaya. Jangan buat kerja ni lagi. Kau fokus belajar. Tahun depan SPM lepas tu kau masuk U. Keluar jadi orang berguna.”
Mukriez dah tak tahan nak gelak. Terus dia gelak terbahak-bahak di situ membuatkan beberapa orang yang lalu lalang mengerling ke arah mereka.
“Gelak pehal?” Tempelak Iskandar geram bila Mukriez beria-ia gelakkan dia.
Mukriez tahan nafas cuba mengawal ketawanya. Nafas ditarik dalam-dalam.
“Gaya kau ni macam penceramah bebas! Ada bakat la wei, kau patut masuk pidato ke, syarahan ke kat sekolah. Mesti menang!” Mukriez sambung ketawa.
Choi! Iskandar berdecit sebal. Kepala Mukriez ditunjal perlahan dek kerana geram masih diketawakan sahabatnya itu.
“Woi! bapak aku bayar zakat fitrah untuk aku tau.” Marah Mukriez bila kepalanya selamba saja ditunjal-tunjal.
“Jom balik! Malam ni kerja lagi,” ujar Iskandar dengan muka bengang lalu terus beredar ke arah motosikalnya.
Mukriez tersengih, lambat-lambat dia mengekori langkah Iskandar.

SEPERTI biasa, Mukriez dan Iskandar sudah mulakan operasinya. Cumanya mereka tidak lagi berpecah untuk menjual barang mereka dek kerana stok yang banyak setiap kali mereka pegang membuatkan lebih selamat sekiranya mereka bergerak berdua.
Kalau seorang saja takut akan diapa-apakan pulak nanti. Apatah lagi mereka tetap masih amatur dalam dunia pengedaran dadah.
Mukriez dan Iskandar baru sahaja sampai di Jalan Chow Kit itu. Lorong-lorong itu memang gelap, tapi tidak sunyi bila terdapat beberapa rumah pelacuran yang dibuka secara sembunyi di situ. Malah, di kaki lima kedai, berlambak penagih-penagih yang sudah lalok terbaring dan berkhayal di situ.
“Hai abang...” sapa seorang ibu ayam siap melambai-lambai dengan kipas di tangannya saat Mukriez dan Iskandar lalu di hadapannya.
Iskandar tersenyum-senyum, sempat lagi mata dia menilik atas bawah ibu ayam yang menegur mereka itu.
Walaupun nampak dah tua, tapi tetap seksi dengan baju dan kain singkatnya itu. Kalau dah namanya lelaki, tak bergetah pun tak apa. Asal ada tempat untuk melampiaskan nafsu mereka.
Mukriez di sebelah kacip gigi bila tengok Iskandar siap terteleng-teleng ke belakang nak tengok mak cik seksi tadi.
“Woi! Fokus! Fokus!” Bisik Mukriez tegas.
Iskandar tergelak kecil.
“Kalau aku dapat tu.... Aum!” Iskandar siap buat gaya cakaran kucing gatal.
Mukriez tayang muka, orang-tua-pun-kau-minat?
“Dah baya mak kau tahu tak!” Tempelak Mukriez sedikit kuat.
Iskandar gelak-gelak siap bersiul. Lalala...peduli apa aku!
“Dik...payung abang, dik.”
Tiba-tiba ada seorang lelaki dengan badan terketar-ketar menghampiri Mukriez dan Iskandar.
Mukriez dan Iskandar saling berpandangan. Kesian memang kesian. Tapi nanti mereka yang rugi. Banyak cantik nak payung-payung! Ingat dia stesen minyak Petronas ke nak bagi payung percuma pada pelanggan.
“Maaf bang. Ada duit, baru kami bagi,” balas Iskandar tegas.
Lelaki itu merenung Iskandar dan Mukriez dengan mata merah menyala. Marah la kut.
“Peuk la kau!”
Eh... cakap orang kedekut pulak!
“Apa peuk-peuk! Kitorang beli benda ni pakai duit tau! Nak free, abang pergi cari tokan lain!” Iskandar dah mula berkasar, terus dia berlalu dari situ dan sempat merempuh bahu lelaki yang berdiri di hadapannya itu.
“Woi budak! Gila!” Tempik lelaki itu lalu terhuyung-hayang mencari tokan lain.
Mukriez menggelengkan kepalanya perlahan. Sayang, muka dah ada rupa, tapi penagih pulak. Harap-harap dia tak terjebak sampai nak hisap dadah. Cukuplah dia tengok keadaan penagih-penagih itu semua. Kesian!
“Apasal kau tunjuk muka cam tu?”
“Kesian la wei. Kau tengok la tu.” Bibir Mukriez muncung ke arah lelaki tadi.
“Agak-agak la kalau nak kesian pun. Yang jual dadah tu, kau salah sorangnya tahu!”
“Memang la tapi sebelum aku jual, dia dah jadi penagih dah,” balas Mukriez tanpa rasa bersalah.
Iskandar diam. Dia pandang ke arah sekumpulan penagih-penagih di situ. Tidur hanya beralaskan kotak. Tak kerja membuatkan mereka tak ada duit untuk membeli dadah. Bila mereka ketagihan, badan mereka menggigil-gigil. Ada juga sampai menjerit-jerit seperti kesakitan. Disebabkan itu, mereka bergaduh pulak sesama penagih berebutkan dadah. Yang pasti mereka lega setelah mendapatkan barang tersebut. Tapi, kehidupan mereka tidak serupa manusia normal. Entah apa yang menyebabkan mereka itu melibatkan diri? Pasti ada sebabnya.
“Mukriez, nanti kau tak terlibat lagi dengan kegiatan haram ni, kau belajar betul-betul, kau siasat dan dekati diorang tu tahu. Cari tahu kenapa mereka terlibat dengan benda alah ni. Aku pelik betul ni. Tapi aku bodoh. Tak reti aku nak siasat tu semua.”
Erk! Mukriez kerut kening pandang Iskandar.
“Ehem...” Seorang lelaki berpakaian hitam dan berbadan sasa tiba-tiba menghalang jalan mereka.
Serentak Iskandar dan Mukriez berhenti melangkah lalu merenung muka lelaki di hadapannya itu.
“Kenapa bang?” Soal Iskandar.
“Geng mana?”
“Errr...” Iskandar pandang Mukriez. Mukriez pandang Iskandar.
Mereka tak ada kumpulan!
“Err.. “
“Geng mana!” Jerkah lelaki itu kuat membuatkan Mukriez dan Iskandar terkejut.
Mereka berdua semakin berundur ke belakang, namun lelaki itu dengan muka bengis makin berganjak ke hadapan.
“Kau tahu tak ni kawasan Geng 66? Kenapa kau ada dekat sini? Hanya tokan geng kami saja boleh jual dekat sini!” Lelaki itu bersuara nyaring membuat beberapa orang lelaki yang juga tokan kumpulan mereka mula mara ke arah Iskandar dan Mukriez.
Bahu Iskandar berlaga dengan bahu Mukriez. Keduanya beriak ketakutan. Mereka berdua tak tahu yang kawasan ini dikawal oleh geng tertentu. Dia ingat ini kawasan bebas.
“Err…maaf, bang. Kami ingat kawasan ni free. Maaf bang, Maaf!” Iskandar beria-ia tunduk meminta maaf.
Bila tengok Mukriez pegun ketakutan di situ, bahu si kawan ditolak-tolak agar mengikut perbuatannya juga. Mukriez tersentak. Bila tengok Iskandar serupa orang Jepun yang sedang menunduk hormat, segera dia turut ikut menunduk.
Free? Kau ingat ini kawasan bebas cukai ke nak ada free area? Bodoh! Dasar budak kecik!”
Terenjut bahu Mukriez bila lelaki sasa itu menjerit dekat dengan mukanya.
“Pekak la woi!” Marah Iskandar yang dah tak boleh bersabar membuatkan lelaki sasa itu terbuntang biji mata tak percaya budak kecik depan dia berani nak menjawab.
“Apa kau cakap?”
“Aku dah mintak maafkan! So apa masalahnya! Aku nak blah la ni!”
Mukriez jegilkan mata pada Iskandar. Gila ke apa nak marah lelaki sado ni? Kau jangan cari pasal Kandar!
“Kandar, diamlah,” bisik Mukriez dekat dengan telinga Iskandar.
Muka Iskandar merah padam pandang Mukriez.
“Dah lelaki ni langsi sangat! Ingat aku hairan!” Dia masih tidak berpuas hati.
“Ini budak yang langsi. Geng!” Lelaki itu mula panggil kawan-kawannya.
Mukriez resah bila tengok beberapa orang lelaki keluar dari tempat gelap dengan senjata tumpul di tangan. Kayu! Tapi parang pun ada!
“Kau. Memang. Cari... nahas!” Lelaki itu sebut satu persatu.
Mukriez pegang tangan Iskandar. Terasa sejuk! Dia jeling Iskandar yang dah kecut perut di sebelah.
“Lari,” bisik Mukriez.
“Satu...dua...tiga! Lari Kandar!”
Lintang pukang Mukriez dan Iskandar melarikan diri dari kawasan itu. Mukriez lari bersungguh-sungguh. Yang dia fikir dia nak lepaskan diri je daripada lelaki-lelaki itu.
“Argh!” Jeritan Iskandar bergema kuat membuatkan Mukriez pantas berhenti berlari.
Bila dia toleh ke belakang... Iskandar telah ditangkap dan dibelasah dengan segerombolan lelaki.
Tak lama, badan Mukriez turut dipukul dari belakang.
“Aduh!” Belakang badan terasa perit. Muka dia menyeringai menahan kesakitan.
Dush! Pang! Prang! Tubuh dua remaja itu dibelasah tanpa belas. Disepak, dipukul dengan kayu. Malah badan Iskandar ditetak menggunakan parang.
“Sakit...Sakit!”
Rintihan kesakitan Mukriez dan Iskandar bersahut-sahutan kedengaran di situ. Mereka yang lain, hanya mampu melihat dari jauh. Tidak berani untuk masuk campur hal ketua kawasan di situ.
Tidak lama kemudian bunyi hon dibunyikan bertalu-talu menarik perhatian mereka semua. Serentak mereka berhenti membelasah Mukriez dan Iskandar yang tinggal nyawa-nyawa ikan.
Pin! Pin! Pin!
Mukriez terbaring mengerekot menahan sakit. Dia mengesat darah yang mengalir keluar daripada mulutnya itu. Sakit.... Pandangannya berbalam-balam dek kerana darah yang mengalir daripada kepalanya. Dia kecilkan mata untuk melihat lebih jelas apa yang terjadi.
Iskandar di sebelah sudah pengsan tidak sedarkan diri. Tangan Iskandar yang terkulai digapai lalu digenggam erat.
Kandar.... Serunya dalam hati. Bibirnya terketar-ketar tapi suaranya tidak terluah. Mulut Mukriez pecah!
“Apa kecoh-kecoh ni!” Suara garau seorang lelaki bergema memecah sunyi kawasan itu. Masing-masing menikus ketakutan apabila ketua sebenar kawasan itu muncul di situ.
“Burn!” Seru lelaki sasa yang memukul Iskandar tadi. Mendengar nama itu, serentak semua menunduk hormat.
Lelaki bernama Burn mendekati dua orang budak lelaki yang berlumuran darah itu. Mukanya bengis menahan marah bila kawasannya kecoh.
“Joe, Tengok budak tu. Hidup ke mati?” Arahnya.
Bergegas lelaki bernama Joe, berambut panjang dan memakai baju merah itu mendekati Mukriez dan Iskandar.
Tengok Mukriez menyeringai kesakitan, dia pergi ke arah Iskandar yang terkulai di situ. Iskandar diperiksa lalu dia segera mendekati bosnya itu.
“Mati.”
Mukriez tergamam mendengar jawapan lelaki itu. Genggaman tangan Iskandar digenggam kuat.
“Kandarrrr...” panggilnya dengan suara sengau kesakitan. Tangan itu digegar-gegarkan umpama mengejutkan Iskandar daripada tidur.
“Kandar!” Jeritnya kuat apabila Iskandar masih tidak bergerak.
Melihat keadaan kawannya itu. Mukriez mengongoi kesedihan. Dia teresak sambil diamati oleh orang-orang yang memukul Iskandar.
Burn merenung Teo dengan renungan membunuh. Lelaki sasa yang telah membunuh Iskandar itu semakin kecut bila melihat renungan Burn.
“Ini kawasan Batman! Kau yang menceroboh! Kenapa ada pembunuhan kawasan ni? Siapa nak settle?” Jerkahnya lantang kemarahan.
Teo menggigil ketakutan. Bos Geng 66 kata ini kawasan mereka. Dan dia ditugaskan jaga kawasan ini. Argh! Pasti kes perebutan kawasan lagi! Getusnya sebal dalam hati.
“Kandar! Bangun! Kandar!” Mukriez peluk erat tubuh kaku sahabatnya itu. Kesakitan pada tubuhnya sendiri dah tak terasa tatkala mengenangkan dalam sekelip mata sahabatnya boleh tiada!
“Bawak budak tu masuk kereta. Urus mayat kawan dia bagi bersih ini tempat,” arah Burn pada Joe.
Joe mengangguk menerima arahan.
Sebelum Burn berpaling untuk masuk dalam kereta. Dia merenung Teo tajam.
“Bagi pengajaran pada Geng 66. Biar dia kenal siapa kita,” ucap lelaki itu penuh dingin.
Joe mengangguk lagi. “Baik Burn!”
“Pak cik, kawan saya macam mana?” Soal Mukriez teresak-esak. Lelaki tua itu direnung dengan renungan minta simpati. Namun, lelaki itu hanya tayang muka bengis.
“Anggap kau tak pernah kenal kawan kau tu.”
Mukriez tersentak. Matanya merenung lelaki itu tidak lepas.
“Dia kawan saya! Dia mati depan mata saya. Saya tak boleh buat tidak nampak!” Jeritnya dengan tangisan yang makin meninggi.
Pengikut Burn yang duduk di hadapan berpaling ke belakang.
“Jaga suara kau!” Gertak lelaki bersut hitam itu.
Mukriez tertunduk. Perlahan-lahan tangannya yang mencengkam lengan lelaki tua itu dilepaskan.
“Kandar...” rintihnya.
Mukriez ditarik dari situ dan diarah masuk ke dalam kereta Burn.
Burn menoleh pandang budak lelaki yang duduk di sebelahnya itu. Budak itu penuh luka. Kepala berdarah. Lebam sana sini. Kalaulah anaknya masih hidup, pasti sebaya budak lelaki ini.
“Rumah kau dekat mana?”
Mukriez menggeleng kepala laju. Tak mungkin dia akan pulang dengan keadaan macam ni. Tapi sampai bila? Kalau dia tak balik mesti mak abah risau.
“Jadi lelaki kena berani. Apa yang kau buat, kau kena hadapi risikonya. Sampai bila kau nak lari? Makin banyak masalah nanti.” Burn kerling hujung mata pandang Mukriez.
Mukriez terdiam.
“Saya tak sampai hati tengok mak saya susah hati.”
“Kalau macam tu, dari awal patut kau jauhkan diri daripada kerja tu,” bidas Burn penuh dingin.
Suasana sepi semula. Hanya esakan Mukriez saja yang kedengaran.
“Rumah kau dekat mana?” Soal Burn lagi. Sejujurnya dia bukan orang yang penyabar. Tapi melihat raut wajah budak lelaki itu, dia jadi tak sampai hati.
“Kampung baru.”
Bila mereka sampai di kawasan rumah setinggan itu, Mukriez tergamam bila rumah papan milik keluarganya sudah hangus terbakar dijilat api.
Pantas dia keluar dari kereta mewah milik Burn lalu berlari dengan kaki yang terencot-encot kesakitan.
“Mak! Abah!” Mukriez menjerit lantang memanggil kedua ibu bapanya.
Air mata yang kering kembali merembes keluar. Rumahnya yang runtuh menjadi abu itu direnung sayu.
Jiran-jiran yang datang membantu tadi hanya mampu melihat Mukriez dengan renungan sayu. Sedih melihat nasib anak muda itu.
“Mak! Abah! Lily!” Kaki bergerak pula ke bahagian kiri rumah. Mana tahu ada emaknya yang sedang berteduh menyelamatkan diri di situ.
Buk!
Mukriez jatuh tersungkur ke tanah. Mukanya yang lencun dengan air mata itu menyeringai kesakitan.
“Riez!” Seru seorang wanita.
Dengan badan yang masih jatuh tersungkur itu, Mukriez mendongak.
Mak Piah jiran mereka turut menangis di sisi Mukriez.
“Mak cik. Mak... abah mana?”
Mak Piah kesat air mata yang mengalir laju di pipi.
“Mak abah? Lily?”
Kepala tergeleng perlahan menjawab soalan Mukriez. “Mak Mukriez dah dihantar ke hospital. Tapi...abah kamu dan Lily dah tak ada.”
Mata yang bergenang kembali luruh. Bibir bergetar. “Tak ada?” Bibirnya terketar menahan tangis.
Mak Piah mengangguk perlahan.
“Diorang rentung. Hangus terbakar.”
Mukriez meraung kuat. “Abah! Lily! Abah!” Tanah ditumbuk-tumbuk melepaskan perasaan yang tak tertanggung.
“Abah!”
“Sabar Mukriez...Sabar..” Mak Piah mengusap lembut bahu Mukriez. Dia turut menangis di situ. Malah, bukan dia saja, tapi semua yang melihat keadaan itu turut menangisi kehilangan itu.
“Abah... duit Riez dah cukup nak bayar hutang abah,” rintih lelaki itu. Kepalanya tersembam pada tanah. Tanah yang terpalit pada rambut dan mukanya sudah tidak diendahkan.

LELAKI itu merenung budak remaja di depannya dengan tajam. Tidak percaya, budak yang dia nampak menangis semalam tiba-tiba beriak garang dengan mata penuh dendam.
“Nak balas dendam?”
Mukriez angguk yakin.
“Ikut aku. Join Batman. Aku akan hapuskan orang yang bunuh ayah dan adik kau.”
“Okey.”
“Nama kau sekarang Mark. Bukan lagi Mukriez. Aku akan ambil kau jadi Fin gantikan aku nanti.”
“Fin?”
“Pembunuh upahan dalam kumpulan kami.”
“Baik Burn.” Mukriez mengetap rahangnya kuat. Dia akan pastikan along yang bakar rumah mereka semalam mati di tangannya.
Abah… Lily, Riez akan balas dendam.

0 comments:

 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template