Sunday 11 September 2022

MY BEST FRIEND'S BROTHER- BAB 5

 


HANIM tercengang bila ada banyak selipar di luar rumahnya. Jarang ada tetamu datang ke rumah itu. Boleh kira dengan jari. Kemudian kedengaran suara bising-bising dari dalam rumah. Suara lelaki yang tak dia kenali.

"Mulai hari ini kau bukan anak aku lagi Hayati!"

Hayati mana pulak ni? Hanim makin tak faham. Cepat-cepat dia mendaki anak tangga.

Langkah kaki terhenti di ambang pintu rumah. Memerhati ruang tamu sempit itu kelihatan padat dengan beberapa orang manusia.

"Kenapa ni?" Hanim tebarkan pandangan pada setiap wajah di situ.

Wajah mak, Hanafi dan teman wanita abangnya, Hayati. Oh! Maksudnya...

Matanya beralih pula pada seorang lelaki tua yang berwajah bengis di situ. Dan ada seorang perempuan sebaya mak sedang menangis di sisi lelaki itu.

"Dah! Aku nak balik! Kau ingat Hayati. Jangan nak jejak kaki lagi dekat rumah aku! Berhambus kau!"

"Sudah Mah! Tak guna menangis untuk anak macam dia ni. Jom balik!" Lelaki tua itu mendengus kasar. Tanpa berbasa basi lagi terus dia berlalu turun dari situ. Diikuti mak dan dua adik lelaki Kak Yati.

Hanim renung tajam wajah tak bersalah Hanafi. Dia pasti ada sesuatu yang telah terjadi sampaikan Kak Yati kena buang keluarga.

"Kenapa ni mak? Malaun ni buat masalah apa pulak kali ni?" Terketap gigi Hanim menahan rasa geram pada si abang. Tak habis-habis buat masalah.

Kejap-kejap orang kampung datang serang ke rumah kerana Hanafi ditangkap mencuri duit dari tabung surau. Ada kala kerana Hanafi rembat motor orang. Mujur tak masuk penjara aje abangnya itu.

Kak Yati yang sedang menangis teresak-esak dikerling sekilas. Lencun maskara di wajah putih bersih Kak Yati. Dah malam-malam buta pun bermakeup juga. Tak faham betul.

"Yati mengandung."

“Apa!” Tubuh Hanim keras membantu. Terbeliak mata dia berpandangan dengan mak yang dah tayang wajah serba salah.

Dia renung pula Kak Yati. Perut teman wanita abangnya itu kelihatan membuncit walaupun ditutupi dengan pakaian yang longgar.

"Aku dan Yati dah fikir nak gugurkan kandungan dia tu." sampuk Hanafi tegas. Dan serentak dengan itu tangisan Kak Yati makin kuat kedengaran.

"Tak payahlah, Napi. Kandungan dia dah 7 bulan! Mak takut kalau apa-apa jadi pada Yati nanti. Ni dah kali kedua dia gugurkan kandungan. Boleh rosak rahim dia nanti."

"Habis mak nak aku buat apa? Jaga budak tu? Aku ni nak makan pun kais pagi tahu tak mak!"

"Ya Allah..." Hanim jatuh terduduk di lantai. Bergenang matanya memikirkan Hanafi dah hanyut sejauh ini. Dua kali! Air mata mengalir laju. Sungguh tak sangka abang yang membesar bersamanya selama ini boleh jadi jahat macam ni sekali.

"Jadi selama ni mak bersubahat dengan dia?" Suara Hanim terketar menyoal mak.

"Bukan mak bersubahat. Tapi Napi tak sedia lagi nak ada anak." Jawab mak Ecah sedikit serba salah.

Mengecil mata Hanim. Kepala tergeleng perlahan. Tak percaya mak sendiri bersubahat dengan perbuatan terkutuk Hanafi. Kecewa dengan keluarganya yang berantakan seperti ini.

"Oh... bersedap-sedap nak pulak. Gersang sampai tak fikir halal haram. Tapi bila dapat hasil tak mahu jaga! Kau tak fikir dosa ke bang?" sergah Hanim setelah menenangkan diri. Tajam renungan matanya memanah wajah tegang Hanafi.

Hanafi bangun dari duduknya. Mencerlung garang melawan panahan mata Hanim.

"Kau tu adik aku aje tau, Nim. Jadi kau tak ada hak nak tegur aku!" Jari telunjuk Hanafi yang tepat menala ke muka ditepis Hanim kasar.

"Tapi kau tu darah daging aku! Aku tak sangka kau jahat macam setan!"

"Apa kau cakap!"

Hanafi cengkam kuat lengan Hanim lalu tangan kirinya naik mencekik leher jinjang Hanim yang berlapis tudung. Kuat dengusan nafas Hanafi menampar ke wajah adiknya menandakan dia teramat marah.

Kedua tangan Hanim terkapai memaut lengan kiri Hanafi. Menarik kuat agar abangnya melepaskan cengkaman di leher. Merah padam muka dia mencari nafas.

Mak meluru mendapatkan dua beradik yang saling bertikam lidah itu. Hanafi yang panas baran sampai nak membunuh Hanim.

"Sudahlah Napi! Dia adik kau!" Lengan Hanafi ditarik mak berkali-kali. Tapi kudrat wanita tua sepertinya langsung tak buat anak lelakinya itu goyah. Malah, dengan bersahaja Hanafi makin menguatkan cengkamannya.

"Mak diam!" Jerkah Hanafi tanpa mengalihkan pandangannya. Terketap-ketap bibir dia mengumpul kekuatan melawan tenaga Hanim yang meronta-ronta melepaskan diri.

"Kau. Memang. Syaitan!" Hanim yang masih tak berpuas hati makin membakar perasaan Hanafi.

"Kau memang nak mampus Hanim!" Kedua tangan Hanafi mencekik leher Hanim kemudian diangkat tubuh kecil adiknya sehingga kaki Hanim terkapai-kapai tidak jejak lantai.

"Hanafi!" Jerit mak ketakutan. Belakang badan Hanafi dipukul bertalu-talu.

"Ark..erk.." Tengkorok Hanim seperti diremuk. Mengalir air mata dia menahan kesakitan. Muka dah biru kekurangan oksigen.

"Biar aku yang mati!" Jeritan Hayati menghentikan segalanya.

Entah bila Hayati bertindak. Tiba-tiba di tangan dia dah ada pisau potong daging yang diambil di dapur.

Hayati hala pisau ke leher sendiri.

"Yati!" Menggelupur Hanafi mendapatkan teman wanitanya. Tubuh Hanim dibanting ke tepi membuatkan Hanim terhempas ke dinding rumah dan terhantuk dengan bucu jendela.

"Argh!" Hanim menjerit kesakitan. Tangan kiri memegang leher yang perit. Manakala tangan kanan menekup dahi yang terasa basah.

"Hanim!" Dengan linangan air mata mak mendapatkan Hanim yang dah tergolek kesakitan.

"Sa...kit." Suara Hanim putus-putus. Serak dicekik Hanafi yang gila mahu menjadi pembunuh.

"Letak pisau tu Yati!" Bergema nyaring suara Hanafi. Tangan dia tergawang ke udara cuba menenangkan Hayati yang meraung-raung dengan pisau terhala di leher.

"Biar aku yang mati! Aku menyesal kenal kau, Napi!"

Hanafi yang sememangnya bukan seorang penyabar kembali naik angin. Tak guna dia nak takut kerana dia tahu Hayati tidak seberani itu untuk melukakan diri sendiri.

"Kau dah banyak pahala ke nak mati?" soal dia sinis.

Tersedu sedan Hayati menangis. Tersekat-sekat suara dia. Makin sakit hati dia dengan perangai Hanafi.

"Napi!" Sambil memangku Hanim, mak menjerit marahkan Hanafi.

Ruang tamu rumah itu semakin huru hara. Hayati gores luka di leher sampai darah memancut keluar.

Ya Allah... Menggigil tangan mak sambil bantu menekup darah di kepala Hanim. Tak kuat melihat darah merata-rata di lantai rumah.

"Aku nak mati! Gara-gara jantan sial ni la aku mengandung! Dia rogol aku!" jerit Hayati tak terkawal.

"Mulut kau jaga sikit! Rogol kepala hangguk kau kalau kau pun menggatal nak dipuaskan. Bagi bukti kau cakap aku rogol kau!" Bidas Hanafi dengan mata terjegil seakan mahu tersembul keluar.

"Kau memang sial Napi! Aku menyesal percayakan kau!"

"Kak Ti! Jangan kak! Napi tolonglah sabar!" Hanim tongkat tangan. Gigih mahu bangun dari terus terbaring. Tetapi mata dia makin berpinar-pinar sampai dia perlu menahan tangan di dinding rumah agar kakinya terus teguh berdiri.

"Pedulikan dia! Nak mati sangat, buatlah! Aku nak tengok dia berani ke tak?"

"Kau jangan cabar aku, Napi!" Marah Hayati.

Hanim gagahkan diri, berjalan laju mendapatkan Hayati dan sepantas kilat dia merampas pisau dari tangan Hayati.

"Jangan kak!" tegah Hanim dengan muka menyeringai menahan sakit di kepala. Dia juga rebah di sisi Hanim. Kepala yang sakit membuatkan dia tak berdaya untuk menahan Hayati lagi.

"Aduh!" Hayati jatuh tergolek ke lantai. Perut yang terasa sakit mencucuk dipegang erat sambil mengensot mendapatkan pisau yang terdampar di hujung kaki.

Zap! Suara tangisan Hayati bertukar dengusan dan erangan kesakitan.

"Yati!"

 

 

"FARIS AD DEEN!"

Suara jeritan mommy buat Faris tergelak-gelak menutup salah sendiri. Tahu yang dia dah keluar terlalu lama sampai mommy risau menunggu di rumah.

"Bila nak balik hah? Dah pukul 12.30 ni. Berlumba lagi ke?" Suara Dina makin lantang memarahi si anak. Geram pada anak sulungnya yang tak lekat di rumah! Hati seorang ibu tak tenang nak melelapkan mata selagi tak nampak kelibat si anak di rumah.

"Mana ada mommy. Hujankan ni. Litar basah." Faris cuba memberi alasan. Tapi sungguh dia tak berlumba malam ni. Cuma dia lambat balik kerana melepak di rumah kawan baiknya, Farel. Lelaki yang tua beberapa tahun darinya itu akan berlepas ke luar negara besok kerana semester baru telah bermula.

"Habistu Ayis pergi mana tak reti nak balik lagi?"

"Ayis jumpa Farel. Dia kan nak berlepas besok. Sajalah melepak sekejap. Lepastu pergi makan. Ni nak balik la ni."

"Haa... cepat balik! Ayis ni kan..."

Sambil mendengar bebelan mommy, Faris bersandar selesa di tempat duduknya. Dari dalam kereta, matanya merenung lama rumah kampung yang dihuni Hanim.

Berkerut dahi dia bila nampak bayang-bayang orang bergaduh di sebalik langsir tingkap yang terbuka luas. Cermin tingkap kereta pantas diturunkan sedikit. Dan serentak dengan itu, terus dia dapat mendengar suara lantang bertikam lidah dari dalam rumah.

"Aku nak mati! Gara-gara jantan sial ni la aku mengandung! Dia rogol aku!"

Tubuh pantas melonjak ke depan. Tertanya-tanya apa yang berlaku di dalam rumah Hanim.

"Mommy... kejap lagi Ayis balik. Letak dulu ya." Laju dia mematikan talian telefon tanpa sempat mendengar balasan mommy.

Telefon dicampak ke tepi lalu bergegas dia turun dan berjalan ke arah pintu rumah Hanim.

"Assalamualaikum." Daun pintu yang terbuka luas memudahkan Faris menjengah ke dalam.

"Kau jangan cabar aku, Napi!"

Terbeliak mata dia bila melihat seorang perempuan mengandung sedang menangis sambil menghala pisau ke leher sendiri sebelum diterpa Hanim.

"Hanim!" Terjerit Faris bila Hanim juga tumbang seakan mahu pitam.

Hanim jatuh tergolek di sebelah wanita mengandung itu. Dan wanita mengandung itu berusaha mencapai pisau yang terlepas dari tangan Hanim lalu wanita itu mengelar pergelangan tangan sendiri.

Tidak sampai sesaat, suara tangisan perempuan itu hilang. Hanya erangan kesakitan yang bergema.

"Yati!"

Hanafi terkaku dengan mata terbeliak. Terkejut melihat Hayati yang dah terkulai berlumuran darah. Mak Hanim pula meraung-raung sambil memangku Hanim.

“Allah!” Faris bergegas mendapatkan kain dan menekup luka di tangan perempuan mengandung itu.

Tertoleh kiri kanan dia kerana tidak tahu berbuat apa.

“Hanafi! Kau jangan lari, Napi!” Jerit Mak Ecah bila Hanafi bergegas melarikan diri keluar dari rumah.

Saturday 10 September 2022

MY BEST FRIEND'S BROTHER- BAB 4

 



"NIM, customer last nak nasi goreng USA. Lepas ni boleh la kemas-kemas ya."

Hanim yang baru saja melabuh punggung di kerusi, pantas bangun. Tersenyum pada Kak Lina dan segera menghidupkan api dapur gas.

"Okey kak." Sudip diketuk pada wok yang telah panas dan dalam masa kurang 10 minit makanan selesai di masak.

"Dah siap."

"Tolong hantar ke depan, Nim. Akak nak mop bawah meja kejap. Ada air tumpah."

Hanim angguk lagi. Akur dengan arahan bosnya. Apatah lagi hari ni hanya ada dia, Kak Lina dan suami Kak Lina saja. Dua pekerja lagi sedang bercuti. Abang Majid jaga kaunter, dia tukang masak. Kak Lina pula tukang ambil dan hantar pesanan.

Hanim keluar dari dapur sambil menatang dulang yang berisi Nasi Goreng USA dan Kopi O ais.

Ruang makan restoren itu dah lengang. Hanya ada dua meja saja yang berpenghuni. Hanim melangkah mendapatkan seorang pelanggan lelaki yang duduk di hujung kedai. Dekat dengan tempat parkir kereta.

"Nasi goreng USA dan Kopi, encik."

Si lelaki yang sedang ralit bermain game di telefon panggung kepala bila Hanim letak pinggan nasi dan segelas air di depannya.

"Terima kasih."

"Sama-sama." Sahut Hanim lembut. Sejuk hati bila ada pelanggan beradab macam tu.

Dia sambung buat kerja di belakang. Mengemas segala peralatan di dapur memandangkan restoren pun menunggu pelanggan terakhir untuk membuat bayaran.

Selesai semua itu, Hanim pamit untuk pulang terlebih dahulu pada Kak Lina. Ruang parkir motor dituju.

"Aduh! Buat hal lagi dia ni." Bebel Hanim. Helmet di kepala kembali dicabut dan dihentak ke bakul motorsikalnya.

"Kenapa? Minyak habis lagi ke?"

Eh! Berpusing leher Hanim mencari arah suara yang menegur itu.

"Hai!" Si lelaki yang berada di sebelah kanan dia melambai dengan senyuman lebar.

Lebar senyuman di bibir itu sampai muncul dua lekuk di kedua belah pipi.

Dahi Hanim berkerut. Mata mengecil mahu mengecam lelaki yang berada di depannya ini.

Macam kenal. Tapi keadaan malap di situ mengehadkan penglihatannya. Dia kurang jelas dengan raut wajah itu.

"Lupa ya?" Faris sengih. Tubuh yang bersandar di sisi kereta melonjak ke depan. Melangkah dengan santai mendekati Hanim.

Dari tadi lagi dia menunggu Hanim setelah gadis itu menghantar pesanan makanannya. Dialah pelanggan terakhir di tempat Hanim bekerja tadi.

Tubuh Hanim keras sesaat. Gaya berjalan santai si lelaki mengingatkan dia pada seseorang. Pantas iris matanya beralih melihat gaya rambut si lelaki. Sama. Berbentuk M tidak bergel.

"Eh... Awak mamat rumah besar tu kan?"

Langkah kaki Faris terhenti. Terpinga-pinga seketika.

"Rumah besar?"

"4 Tahun lepas. Saya dengan abang saya pernah datang rumah awak. Ingat tak? Road block? Tak ada lesen?" Kening Hanim ternaik sedikit. Cuba memberi hint.

Tapi dia pelik. Kalau lelaki tu tak ingat dia... Kenapa lelaki tu tegur dia macam dah kenal?

"Lah.. Tu awak!" Faris yang tercengang terus tersenyum. Baru dia tahu yang dia pernah berjumpa dengan Hanim dan Hanafi.

Malah dua beradik itu siap duduk melepak di rumah dia selama dua jam gara-gara ada sekatan polis.

"Selain tu kita pernah jumpa ke?" Tanya Hanim setelah melihat reaksi Faris.

Sah mamat ni tak ingat hal 4 tahun lepas tu. Waktu tu dia berusia 16 tahun. Hanafi pula 18 tahun. Dua-dua reti bawa motor tetapi mereka tak ada duit nak ambil lesen.

"Tak ingat? Depan TNB? Motor habis minyak?" kali ni kening Faris pula ternaik. Memberi hint pada Hanim.

Dan Hanim tergelak. Ya Allah... Takdir sungguh!

"Waktu tu awak pakai helmet. Mana saya tahu muka awak macam mana."

Faris turut tertawa kecil. Dia lupa.

"So, kali ni kenapa pula motor awak?" Soal Faris.

Senyuman Hanim berubah kelat.

"Entahlah." Keluh dia perlahan. Dikerling motor tua itu. Macam-macam masalah! Tapi dia yakin minyak masih ada kerana dia baru saja isi minyak sebelum ke sini.

"Meh saya tengok."

Hanim berganjak ke tepi memberi laluan untuk Faris melihat keadaan motornya.

"Saya rasa sebab hujan la. Air masuk kat dalam ni." Faris duduk mencangkung melihat keadaan dalam rangka motor. Ada nampak kesan basah di situ.

Hanim gigit bibir. Resah mendengar kondisi motornya.

 

"Kena tunggu kering komponen dalam baru boleh start enjin semula. Ambil masa juga ni." Faris tongkat semula motor Hanim setelah tidak berjaya dihidupkan untuk kesekian kalinya.

"Rumah awak jauh ke?" Dia memanggung kepala merenung Hanim yang dah serba tak kena.

"Dalam 15 minit."

Jeda.

"Urm... Dah pukul 12 malam. Bos awak pun dah balik. Awak tinggalkan motor di sini. Saya hantar awak balik rumah." Usul Faris.

Hanim makin berkerut keresahan. Dia kalau boleh tak nak menyusahkan lelaki itu.

Dan dalam masa yang sama, menyesal dia parkir motor di situ. Sudahnya Kak Lina dan Abang Majid tak nampak yang dia masih tersadai di depan restoren kerana majikannya itu parkir di belakang kedai.

"Meh la saya hantar. Sorry tak dapat nak tolak macam hari tu. Saya bawa kereta hari ni. Tadi hujan lebat." Faris tayang sengih.

Dan Hanim kerling sekilas kereta di belakang Faris. Dah macam kereta racing. Dia rasa Faris memang berjiwa racer la. Haritu motor pun jenis superbike. Ni Honda type R yang dah diubah suai seperti kereta lumba pula.

"Jomlah. Mesti awak penat." Faris buka pintu sebelah penumpang.

Nak tak nak, terpaksalah Hanim tinggalkan motor cabuk dia di depan restoren. Sempat dia rantai tayar motor dulu agar tidak dicuri.

"Rumah awak dekat mana?"

"Taman Indah Jaya."

"Oh, saya tahu."

Hanim senyum nipis. Tegak saja badan dia di dalam kereta Faris. Rasa janggal. Dah tiga kali dia menerima bantuan lelaki itu padahal bukan dia kenal sangat pun Faris.

Rasa sejuk aircond buat Hanim terbersin. Tadi baju dia sedikit basah terkena hujan ketika membuang sampah. Hujan berhenti pun 5 minit sebelum dia balik kerja.

"Sejuk eh? Sorry. Ni paling tinggi dah."

"Eh, tak pe." Laju Hanim menyahut. Tapi awal lagi Faris capai jaket kain denim yang tergantung di kepala tempat duduk Hanim.

"Pakai ni. Kurang sikit sejuk tu." Faris hulur jaket tanpa memandang Hanim di sebelah.

Lambat-Lambat Hanim ambil jaket yang dihulur dan hanya ala kadar saja jaket itu dibalut ke tubuh.

Mata Hanim terpejam seketika tatkala bau minyak wangi Faris menyusuk ke deria bau. Bau yang sama pernah dia hidu dulu.

Nyaman dari penyejuk udara dan cara pemanduan Faris yang baik menambah rasa kantuk yang bergayut di mata. Lagi-lagi hidungnya menghidu sesuatu yang wangi.

Hanim sikit lagi hampir terlena kalau Faris tak bersuara dengan tiba-tiba.

"Nanti masuk lorong mana?"

Tersentak Hanim. Cepat dia menegakkan tubuh dan melihat keadaan luar. Dah nak sampai rumah rupanya. Tak sedar dah 15 minit dia dalam kereta itu.

"Belok kanan."

Kereta membelok mengikut arah yang dikatakan.

"Kat sini aje la."

"Rumah awak yang mana?" Faris pandang sekeliling. Jalan gelap gelita. Rumah kiri kanan pun dah bergelap.

"Rumah saya kena masuk lorong ni. Tapi kalau kereta awak masuk, nanti kotor pula. Jalan berlopak. Baru lepas hujan ni."

"Tak pe. Saya hantar sampai depan rumah. Bahaya gelap-gelap ni."

Hanim garu kepala. Menyeringai dengan muka serba salah.

Faris tersenyum melihat reaksi Hanim.

"Kalau kotor boleh basuhlah." Laju saja Faris turunkan hand brake dan kembali menggerakkan kereta.

Perlahan-lahan kereta dia menyelusuri lorong kecil ke rumah Hanim. Banyak rumah papan yang dibina rapat-rapat di kawasan itu.

"Tu rumah saya."

"Okey." Faris berhenti di depan rumah Hanim.

"Terima kasih tau." Bergegas Hanim mengambil beg sandang yang diletakkan di kaki.

Dia segan dengan Faris. Rumah dia serba daif. Papan pun berlubang-lubang. Tingkap bilik tercabut sebelah. Hanya ditutupi dengan kain buruk saja. Laman rumah pula penuh rumput terbiar. Masing-masing malas nak menghias rumah yang tak ada roh itu.

"Sama-sama, take care."

Berdebar dada Hanim bila melihat senyuman Faris. Manis sungguh siap ada lesung pipit.

Kacak...

Haish! Kau tak layak dengan dia Hanim!

Cepat-cepat Hanim tutup pintu kereta dan berpaling menuju ke tangga rumah. Tak mahu terus terbuai dengan layanan Faris yang terlalu baik untuk dia.

Friday 9 September 2022

MY BEST FRIEND'S BROTHER- BAB 3

 



SUMPAH dia tak mahu menangis. Tapi air mata tetap mahu keluar dan akhirnya menitis tanpa henti di pipi. Dia menangis bagai nak gila depan TNB! Pekerja di situ kata, dia perlu membayar sekurang-kurangnya RM 300 untuk memasang kembali eletrik yang telah dipotong.

Duit di dalam purse lusuh itu direnung lama. Berbaki tepat 200 ringgit setelah dia melangsaikan tunggakkan bil air. Dalam masa yang sama, ada beberapa ringgit perlu diasingkan untuk kegunaan harian seperti minyak motor dan barang dapur.

Duit minyak motor perlu disimpan sekurangnya RM 50. Barang dapur pula setidaknya dia perlu membeli beras dan telur. Walaupun tiada barang basah untuk dimasak asalkan adalah sesuatu yang boleh mak makan nanti.

Memikirkan semua itu membuatkan Hanim menangis beria-ia tanpa rasa malu lagi. Dirinya rasa terlalu hopeless. Perlu menunggu 28 hari lagi untuk gaji akan datang.

Dengan langkah yang gontai, dia berlalu mendapatkan motor yang terparkir di seberang jalan.

Sekali lagi tangisan Hanim pecah. Tersedu sedan dia memijak pedal di kaki. Menekan beberapa kali tetapi tetap enjin motornya tidak hidup.

"Ya Allah! Apa lagi!" jerit Hanim tak berdaya dengan keadaan yang terus menekan. Pipi dah lencun dengan air mata.

"Sabar...sabar. Meh saya tolong."

Hanim tersentak! Terus mati tangisan dia kerana terkejut disapa seseorang dengan tiba-tiba. Pantas dia berpaling ke kanan.

Di samping motornya terparkir sebuah Ducati berwarna merah dan ada seorang lelaki memakai helmet full face sedang bergegas turun dari motornya. Sarung tangan kulit berwarna hitam turut ditanggalkan dan diletakkan di atas tempat duduk motor superbike itu.

"Nah, lap air mata tu. Teruk sangat menangis ni." sapu tangan berwarna kelabu diambil dari kocek seluar jeans.

Terkebil-kebil Hanim renung sapu tangan yang tepat berada di depan muka dia.

"Ambillah. Lap muka tu. Meh saya tolong cek motor awak." si jejaka hulur bantuan lagi. Disodor lagi sapu tangan ke arah si gadis.

Sejak tadi dia lihat gadis itu menangis beria-ia depan pejabat TNB. Naik pelik pula dia. Teruk sangat ke perkhidmatan TNB sampai gadis itu meraung begitu?

Dalam keadaan teragak-agak, Hanim sambut juga sapu tangan itu. Wajah yang basah dilap. Dan ketika itu dia tercium haruman maskulin si lelaki. Terus emosinya yang berkecamuk tadi kian tenang. Sedu sedan tangisan Hanim pun terhenti dan dia hanya diam memerhati lelaki itu gigih menghidupkan motornya.

Terbit rasa kesian di hati melihat betapa gigihnya lelaki itu mahu membantu. Susah payah memijak pedal sedangkan motor mahal lelaki itu hanya perlu dihidupkan dengan menekan suis.

"Saya rasa motor awak ni habis minyak. Meter pun dah tak berfungsi ni. Tu sebab awak tak tahu minyak habis." Sedikit mengah Faris menjelaskan. Pergh! Baru nak start enjin Honda EX5 dah mengah. Memang dia perlu mula daftar ke gim nampaknya. Stamina dah out!

Hanim gigit hujung bibir. Bukan dia tak tahu meter motor tu rosak. Dah lama pun rosak, tapi dia yang tak pergi betulkan. Selama ini dia main agak saja berapa kelajuan dan berapa minyak yang ada.

Cuma kali ini dia terlupa nak isi gara-gara emosinya yang tak betul sejak peristiwa pagi tadi di rumah.

"Saya tolong awak."

Hanim panggung kepala. Dia hanya diam bila lelaki itu kembali naik ke atas Ducati merah.

"Jomlah." gesa Faris bila Hanim masih berdiri di tepi motornya.

"Pergi mana?" Hanim terpinga- pinga. Masih blur dengan semua yang terjadi sekarang ni.

"Saya tolong tolak motor awak sampai stesen minyak. Awak naik, saya tolak pakai kaki." Enjin superbike dihidupkan dan diundur keluar motor besar itu dari petak parkir motor.

Hanim akur. Bergegas dia juga mengundurkan motornya.

Faris letak kaki kanan di tepi motor Hanim dan disorong sehingga ke stesen minyak yang terdekat. Mujur ada stesen minyak dekat-dekat situ kalau tak memang kejang juga kaki Faris. Tak pun tiba-tiba berotot besar sebelah kakinya.

“Tu, pump nombor 5 kosong.” Faris tunjuk arah kirinya. Motor Hanim ditolak sampai ke sana.

Bergegas Hanim seluk poket seluar tracksuitnya. Mengeluarkan purse dan menuju ke kaunter bayaran. Terpaksalah Hanim pejam mata mengisi minyak motor. Sementelah duit memang tak cukup untuk bayar bil eletrik.

"Terima kasih. Susah payah awak bantu saya. Lenguh tak kaki tu?" Hanim kerling kaki si lelaki yang berbalut seluar jeans jenis slim fit itu. Harap-harap tak apa-apa.

Faris hanya tersenyum. Tapi sebab dia masih tak tanggal helmet yang menutup muka, jadinya Hanim hanya nampak mata Faris yang menyepet.

"Lenguh juga."

Alamak! Terus berubah riak muka Hanim. Tak sangka mamat ni jenis jujur. Langsung tak ada basa basi.

"Err..."

"Saya gurau ajelah. Bukan jauh benar pun sampai nak rasa lenguh." Tergelak Faris bila melihat betapa pucatnya muka si gadis.

"By the way, saya Faris."  Sambil menuju ke motornya yang diparkir belakang motor si gadis, Faris memperkenalkan diri. Dari tadi dia tak tahu nama gadis yang dibantunya itu.

"Hanim."

Faris dah bertenggek atas motor Ducati merah. Memakai sarung tangan kulit sambil matanya melihat Hanim yang masih mengisi minyak pada tangki motor. Mata berpandangan seketika dan bibir saling bertukar senyum.

"Semua dah settlekan? Saya pergi dulu ya." Melihat Hanim dah selesai mengisi minyak, Faris juga mula menghidupkan enjin motor besarnya.

"Baik, terima kasih tau." Hanim senyum lagi. Bersyukur ada orang yang sudi membantunya. Hilang juga satu beban di bahu ni. Walaupun Faris hanya membantu menolak motor hingga ke stesen minyak tapi bagi Hanim besar pertolongan itu ketika dia rasa dirinya terlalu hopeless.

"No hal!" Faris angkat tangan menyapa Hanim dan tak sampai sesaat berdesup motor besar itu hilang dari pandangan mata.

 

 

“BARU balik, Nim?” tegur mak sebaik sahaja Hanim melangkah masuk ke dalam rumah.

          Hanim hanya diam tidak menjawab, melabuh punggung di sebelah mak. Wajah mak dikerling sekilas. Ada kesan lebam di pipi dan tepi mata mak. Terus dadanya terasa diramas-ramas. Nafas ditarik dalam-dalam agar tidak meluap emosinya pada orang yang salah.

          “Pergi mana tadi?” tanya mak lagi. Mahu mengambil hati si anak. Dia tahu Hanim masih marah dengan peristiwa pagi tadi. Dan gara-gara itu, dia pula dibelasah Hasan setelah Hanim dan Hanafi keluar dari rumah.

          “Cari kerja.” Kerja di kedai Kak Lina bermula jam 6 petang sehingga 11 malam. Jadinya dia boleh cari kerja di siang hari.

          Kepala Hanim yang beralas tudung bawal lusuh diusap mak lembut.

          “Hanim kan dah kerja di kedai makan Lina. Kenapa nak cari kerja lagi?”

          “Kalaulah waktu kerja tu singkat, dah lama aku buat tiga empat kerja mak! Semata-mata nak tanggung biawak hidup dekat rumah ni!” Jawab Hanim dengan nada tertahan. Tangannya terkepal kuat dengan gigi terketap. Mujur abah tak ada ketika itu. Kalau tidak, dia akan bergaduh lagi dengan orang tua itu kerana telah mencederakan maknya.

          Mak terdiam.

          “Aku mintak maaf kalau buat mak terasa. Tapi aku sakit hati! Aku penat mak dengan apa yang jadi pada keluarga kita ni. Tengok tu, pipi mak tu! Sampai bila mak nak bertahan?”

          “Mak…”

          “Sampai abah berubah?” potong Hanim laju. Tak mahu lagi mendengar alasan mak yang tak habis-habis dengan alasan yang sama.

          “Orang tua tu dah 60 tahun mak. Tapi ada mak nampak dia berubah? Ada? Sampai mati pun dia akan terus macam tu!”

          “Hanim. Tak baik cakap abah macam tu, nak. Walau apa pun dia… dia tetap abah kau.”

          Hanim meraup wajah. Memeluk lutut sambil bersandar di dinding rumah. Ruang tamu yang kosong tanpa sebarang perabot itu direnung lama. Kosong pandangan mata dia, sekosong suasana rumah ini.

          Rumah yang tiada bahagia. Rumah yang tak layak disebut rumah kerana tujuannya hanya untuk menumpang tidur sahaja. Tiada gurau senda atau kasih sayang di situ.

          “Dah berbuih aku cakap dengan mak. Tapi mak tak pernah nak dengar cakap aku. Sudahnya nanti, mak tetap cari aku untuk tolong mak.”

          “Habistu kau merungut la mak susahkan kau.” Bibir mak dah terketar mahu menangis. Terasa hati mendengar luahan anaknya. Dari mula kahwin lagi dia dah diherdik dan dicaci Hasan dengan perkataan ‘menyusahkan’ kini Hanim juga mengatakan benda yang sama. Dia memang tak patut hidup. Hidup dia hanya menyusahkan Hanim dan Hasan.

          Hanim mendengus sebal. Lantas bahu mak dipaut erat. Air mata Hanim menitis dalam diam tatkala meraih tubuh mak dalam pelukan. Mak dah terlalu kurus. Kesal kerana mak masih juga mahu menanggung derita di sini.

          “Hanim ada untuk jaga mak. Tolonglah mak! Tolonglah faham apa yang Hanim nak. Kita boleh hidup berdua tanpa dia.” Pujuk dia perlahan.

          Tangisan mak pecah. Dipeluk erat tubuh Hanim dan bahu Hanim sentiasa ada untuk dia bersandar dan melepas rasa yang menjeruk hati selama ini.

          “Assalamualaikum!”

          Tangisan dua beranak itu terhenti. Cepat-cepat pelukan dileraikan dan air mata di pipi dikesat.

          Hanim bergegas bangun menuju ke pintu. Mahu melihat gerangan yang datang ke rumah.

          “Waalaikumussalam.”

          “Saya dari TNB. Nak pasang meter.”

          Eh! Hanim tercenggang sesaat. Rasanya dia tak bayar lagi bil yang tertunggak. Segera dia mencari resit bil di dalam kocek seluar tracksuitnya. Diseluk setiap poket tapi tak ada.

          “Er…”

          Terkebil-kebil Hanim lihat pekerja TNB itu memasang meter di dinding luar rumah dia.

          Mak keluar dari rumah setelah lampu dan kipas di ruang tamu menyala.

          “Terima kasih Hanim.” Marah-marah Hanim, tapi tetap anaknya usaha untuk membayar segala bil untuk kelangsungan hidup mereka.

          Hanim yang masih tertanya-tanya hanya diam. Dia tak bayar bil eletrik macam mana boleh hidup ni? RM 300 tu!

Thursday 8 September 2022

MY BEST FRIEND'S BROTHER- BAB 2

 



“MAK, cepat mak.” Pintu bilik mak diketuk bertalu-talu. Badan dia rasa belenggas dan berbau semacam kerana seharian tak kena air.

          “Sabar boleh tak! Aku nak cari tudung aku ni.”

          “Pakai ajelah telekung mak. Karang orang penuh kat surau malu pulak kita nak mandi.” Bebel Hanim depan pintu bilik mak.

          Mak buka pintu dengan muka bengis. Geramkan Hanim yang membebel macam mak nenek!

          “Dah siap. Jom!” dengus mak lantas terus keluar dari bilik.

          Hanim tersengih.

Pada jam 5 pagi, Hanim dan mak berjalan kaki menuju ke surau yang berada tidak jauh dari rumah mereka. Di tangan masing-masing ada beg plastik berisi peralatan mandi, tuala dan telekung.

Alang-alang nak mandi di surau, mereka terus saja solat subuh di sana. Takkan nak terus balik, nanti apa pula kata orang kampung yang datang ke surau. Sampai di rumah, abah dah terpacak depan pintu dengan muka bengis.

"Kau tak bayar bil ke? Panas tahu tak duduk kat rumah ni! Dah la aku nak mandi tak ada air!" Kepulangan Hanim dan mak disambut dengan jerkahan abah.

Kedua wanita itu hanya tayang muka tak ada perasaan. Dah mati rasa dengan perangai lelaki tua itu.

"Abah pergi mana malam tadi tak balik?" Soal Hanim berani.

"Kau jangan nak masuk campur hidup akulah! Kau tu jalankan tanggungjawab sebagai anak! Barang dapur pun tak ada. Aku lapar!"

Mak geleng kepala perlahan. Mati kata mahu berlawan lidah dengan suaminya itu. Dah 24 tahun mereka bersama, dia masih tak habis fikir cara permikiran lelaki bernama Hasan itu.

Hanim tergelak sinis. Kepala yang bertutup dengan telekung digaru walaupun tak gatal. Dengan selamba dia menghayun langkah mendaki anak tangga rumah papan itu dan berdiri betul-betul depan abahnya.

"Hanim tahu tanggungjawab Hanim. Tapi abah tu? Sedar tak tanggungjawab abah? Pernah bagi nafkah dekat mak? Ada bagi mak duit beli barang dapur? Ada bagi mak duit untuk beli pakaian?"

Pang! Kepala Hanim terteleng ke kanan.

"Abang!" Mak menjerit kecil. Terkejut melihat Hanim ditampar depan matanya. Tangan suaminya ditepis kuat dari terus mahu memukul anak bongsunya itu.

Abah cekak lengan mak dan menolak mak ke tepi.

"Kau diam, Cah! Biar aku didik anak kurang ajar macam dia ni!"

Hanim senyum sinis. Pipi yang terasa pijar dek tamparan abah diusap perlahan. Tajam mata dia melawan anak mata abah yang terjegil seperti mahu dimakannya tubuh Hanim hidup-hidup.

"Hanim kurang ajar, sebab abah yang tak pernah ajar!"

Pang!

Sekali lagi tamparan abah mendarat. Kali ini di pipi kanan pula. Dan Hanim jatuh terduduk di lantai.

"Sudahlah abang! Orang tengok tahu tak!" Mak menerpa mendapatkan Hanim. Pipi si anak dibelek lembut. Ada darah di sudut bibir Hanim.

Hanim tepis lembut tangan mak. Bergenang matanya menahan sakit di muka dan sakit di hati.

Dalam masa yang sama motor Hanafi menjalar masuk ke perkarangan rumah.

"Bergaduh lagi? Itu ajelah kerja orang kat rumah ni! Muak aku!" jerit Hanafi sambil membuka helmet.

Hanim malas mahu bergaduh lagi, lantas dia bangun dan bergegas masuk ke bilik.

"Kau diam Napi! Kau lagi tak berguna kat rumah ni!" Potong abah tidak kalah lantang.

Kuat suara abah, sehinggakan orang kampung yang lalu lalang mahu pergi bekerja tertoleh-toleh melihat ke rumah mereka setiap kali melintas di situ.

"Aku tak berguna? Kau tu berguna sangat ke!" Hanafi meludah ke tanah. Dia benci Hasan! Dia benci jadi anak dari lelaki tak berguna seperti Hasan.

Mak menangis bersimpuh di lantai rumah. Tidak berganjak dari tempat terjatuhnya Hanim tadi. Apa nak jadi dengan keluarganya ini. Tak habis-habis menjadi buah mulut orang kampung dengan perangai Hasan dan Hanafi.

Tiba-tiba Hanim keluar dari bilik dengan muka bengang. Meluru dia mendapatkan abah dan abangnya.

Beg duit di tangan diangkat ke sedikit tinggi.

"Siapa ambil duit aku! Duit aku dalam beg ni siapa ambil!" Suara Hanim tinggi beroktaf-oktaf.

"Aku! Pinjam kejap. Nanti aku bayar." Abah tayang muka selamba. Langsung tak rasa bersalah telah mencuri duit anak sendiri.

"Abah! Tu duit aku nak bayar bil! Pulangkan balik!" Kerana terlampau sakit hati, menitis air mata Hanim. Macam-macam perkara dia kena fikir, tapi bukan mahu menyenangkan dia, malah menambah lagi masalah dia.

Gaji dia semalam tinggal berbaki 500 sahaja. Sedangkan dia tak buat apa-apa lagi dengan duit itu.

Argh!

"Aku pinjam 1000 jer pun. Kedekutlah kau ni Nim! Nanti aku pulangkanlah." Abah merengus sambil menunjal kepala Hanim. Meluat dia melihat Hanim yang lemah seperti isterinya. Tak habis-habis menangis! Bukan banyak pun duit yang dia ambil!

"Ya Allah..." menggigil tangan Hanim. Turun naik dada dia menahan emosi. Ikutkan hati mahu dia belasah bapanya itu.

"Sudahlah! Aku dah fed up la! Aku tinggal kat sini lagi sebab mak aje tau! Kalau ikutkan hati aku ni, dah lama aku tinggalkan kau orang semua!"

"Tinggallah kalau nak tinggal! Peduli apa aku!" Hanim yang menghalang laluan ditolak abah ke tepi.

Tubuh Hanim longlai jatuh ke lantai. Dia dah tak berdaya... dia penat.

Hanafi jeling sekilas mak dan Hanim yang menangis bersama. Berdecit perlahan sebelum selamba masuk ke rumah. Tidak peduli dengan keadaan adiknya. Sesungguhnya perkara begini dah sering terjadi. Tak ada apa yang pelik.

"Puas dah hati mak? Mak tak nak berpisah dengan jantan tak guna tu kononnya demi anak-anak. Mak tak nak anak-anak tak bahagia. Tapi mak tengoklah sekarang? Bahagia ke aku ni mak? Bahagia ke anak-anak mak ni berbapakan lelaki tak guna tu?" Rintih Hanim dengan linangan air mata.

Esakkan mak makin kuat. Orang tua itu memeluk erat bahu Hanim dengan rasa bersalah yang sangat menebal. Semuanya kerana dia! Dia yang takut mahu berdikari. Takut sekiranya Hanafi dan Hanim tak dapat kasih sayang seorang ayah. Tapi akhirnya... dia yang buat anak-anak jadi begini.

"Maafkan mak, Nim."

 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template